In the News

Tukang Besi Teruja Dapat Perhatian Kumpulan Jejak Inovasi

Date 04-Aug-2011 | Category Highlight | Author BERNAMA

MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Tanggal 16 Julai 2011, pasti menjadi kenangan kepada Ali Kassim, seorang tukang membuat parang kerana dikunjungi sekumpulan Jejak Inovasi yang berminat untuk mengetahui hasil kerja tangannya. "Rasa segan (malu) pun ada, bangga pun ada juga, sebab yang datang ke mari datuk pun ada, profesor pun ada, mereka hendak melihat macam mana saya buat parang ala kampung," katanya kepada Bernama ketika ditanya perasaan beliau terhadap lawatan kumpulan Jejak Inovasi itu.
 

MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Tanggal 16 Julai 2011, pasti menjadi kenangan kepada Ali Kassim, seorang tukang membuat parang kerana dikunjungi sekumpulan Jejak Inovasi yang berminat untuk mengetahui hasil kerja tangannya.

"Rasa segan (malu) pun ada, bangga pun ada juga, sebab yang datang ke mari datuk pun ada, profesor pun ada, mereka hendak melihat macam mana saya buat parang ala kampung," katanya kepada Bernama ketika ditanya perasaan beliau terhadap lawatan kumpulan Jejak Inovasi itu.

Ali, 59, menghasilkan pelbagai jenis parang sejak berusia 15 tahun, di bengkel yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Batu Gajah Pasir dekat Sungai Rambai.

Tanpa menggunakan mesin canggih sebaliknya dengan kudrat dan kemahiran yang dipelajari daripada bapanya dan beberapa tukang besi, Ali turut menghasilkan peralatan besi lain yang diperlukan masyarakat seperti pisau pemotong tandan kelapa sawit, sabit dan alat mengopek buah kelapa.

Beliau kelihatan agak kekok apabila lensa kamera beberapa stesen televisyen memfokuskan kepadanya iaitu ketika beliau menunjukkan bagaimana menghasilkan parang daripada besi terpakai seperti spring lori.

"Saya boleh menyiapkan lapan bilah parang yang panjangnya 20 cm sekiranya bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang sehari," katanya dengan menambah jumlah pengeluarannya adalah tidak menentu, bergantung kepada tempahan pelanggan.

Ali turut menghasilkan sarung parang daripada kayu terpilih yang diperoleh di sekitar kampungnya seperti kayu pokok sena, pokok ciku dan batang kelapa.

"Saya bersedia untuk berkongsi kemahiran membuat parang ini dengan sesiapa sahaja yang ingin belajar terutama anak muda," katanya dan menambah kata inilah kali pertama beliau menerima lawatan kumpulan yang datang menilai hasil kerja tangannya.

"Saya diberitahu selepas lawatan ini mereka akan memberi bantuan dan saya hanya berharap dapat membesarkan bengkel ini dengan dilengkapi mesin moden yang lebih mudah untuk membuat parang," katanya.

JEJAK INOVASI MASYARAKAT AKAR UMBI

Kumpulan penjejak inovasi itu terdiri daripada para penyelidik, saintis, pakar paten dan pegawai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Mereka melawat komuniti akar umbi bagi memberikan nasihat mengenai objektif, pendekatan dan hasil yang diingini daripada inovasi mereka. Jejak Inovasi ini dianjurkan bersama MOSTI, Kerajaan Negeri Melaka dan YIM.

Sebanyak 14 produk inovasi akar umbi yang terletak di lapan lokasi di daerah Melaka Tengah, Jasin, dan Alor Gajah telah dilawati oleh para penjejak program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Julai lepas.

Produk inovasi lain termasuk kolam ikan hibrid, sistem 'storm bullet' bagi meningkatkan keupayaan kereta, 'Desa Cart' iaitu enjin kereta terpakai yang digunakan semula untuk menghasilkan kenderaan empat roda bagi kegunaan dalaman dan rekreasi, dan pengeram telur serta penggera kawalan air.

Mereka turut meninjau pembuatan produk seramik, pembuatan keris dan bunga api yang dibuat menggunakan buluh, yang kesemuanya diusahakan penduduk kampung.

Manakala di Politeknik Merlimau di daerah Jasin, mereka berpeluang melihat produk inovasi yang dihasilkan pelajar dengan kerjasama pensyarah seperti "RPS Fire Nozzle" untuk memadam kebakaran tanah gambut dan tapak pelupusan sampah, perangkap air pintar, papan tanda fleksi, serbuk kerabu pelbagai guna dan kiub asam pedas.

"Masakan juga ada inovasinya, melalui kreativiti daripada satu bahan asas, seseorang itu boleh mempelbagaikan masakan," kata Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan, dalam satu demonstrasi masakan kreatif sempena program Jejak Inovasi di perkarangan Menara Taming Sari di Bandar Hilir di sini.

 

PRODUK YANG BERPOTENSI UNTUK DIKOMERSILKAN

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM Raslan Ahmad, daripada 14 produk inovasi itu, sebanyak 12 produk didapati berpotensi besar untuk dimajukan dan akan menerima bantuan yang sewajarnya untuk dibangunkan.

"Saya berharap kami akan dapat mencungkil lebih ramai lagi bakat inovasi akar umbi dengan potensi untuk hasil mereka dikomersilkan apabila menjalankan jejak Inovasi di lokasi lain di seluruh negara kelak," katanya.

YIM adalah satu entiti di bawah naungan MOSTI dan bertanggungjawab bagi mempromosi dan menyemai kreativiti dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan sasaran utamanya kanak-kanak dan belia, wanita, masyarakat luar bandar, orang kurang upaya dan organisasi bukan kerajaan.

Raslan berkata YIM akan membantu untuk meningkatkan lagi inovasi yang dihasilkan oleh komuniti akar umbi, terutama dalam membangunkan modal perintis dan bantuan untuk mengkomersilkan inovasi.

Bagi menyemarakkan lagi semangat menjejak inovasi di peringkat komuniti, Kadet Jejak Inovasi yang pertama ditubuhkan di Politeknik Merlimau.

Beliau berkata semua maklumat mengenai pereka cipta dan produk inovasi yang dihasilkan oleh komuniti akar umbi akan dikongsi dengan seluruh masyarakat dengan memasukkan data ke dalam portal yayasan di http://www.yim.my/.

"Kita sudah menyediakan satu portal sama ada pereka cipta itu sendiri memasukkan maklumat dia ke dalam portal itu atau kakitangan kita yang memasukkan data. Kini sudah ada maklumat 125 pereka cipta dalam pelbagai bidang, mereka termasuk pelajar, usahawan, kumpulan dan individu," katanya.

Kumpulan Jejak Inovasi itu turut dihiburkan dengan Persembahan Malam Kreatif oleh pelajar Universiti Multimedia Melaka, Universiti Teknologi Mara Kedah, Politeknik Merlimau, Briged Seni dan artis jemputan.

Kumpulan Jejak Inovasi ini mampu membawa perubahan positif kepada perusahaan yang dikendalikan oleh mereka yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi seperti Ali, tukang besi yang berkebolehan dan inovasi beliau akhirnya menerima pengiktirafan.



[ Back ] [ Print Friendly ]