In the News

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Melancarkan Projek “ MOSTI SOCIAL INNOVATION” untuk Rakyat Pahang

Date 27-Mar-2016 | Category Press Release | Author
 

Temerloh, 27 Mac 2016- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menyerahkan sebuah inovasi berguna kepada penduduk kampung di sekitar  daerah Temerloh hari ini.

Inovasi Sistem Penapis Air Inovatif tersebut dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Kampung Batu Balai Kerdau

Sistem Penapis Air Inovatif menggunakan sistem penapisan membrane yang dihasilkan oleh En Hasrin bin Kassim dari Selangor dan diserahkan kepada Penduduk Kampung Batu Balai Kerdau dan kampung-kampung sekitar seperti Kampung Ketam, Kampung Paya Taram, Kampung Kelibang, Kampung Lipat Kajang, Kuala Kerdau dan lain-lain dengan tujuan untuk menapis air mentah bagi kegunaan di waktu kecemasan dan boleh digunakan oleh mangsa-mangsa banjir besar. Sebagai contoh, yang berlaku di Kelantan dan beberapa buah negeri di seluruh Malaysia termasuk Pahang sendiri baru-baru ini yang kekurangan bekalan air bersih seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan penduduk setempat.

Sumber air yang digunakan inovasi ini bersumberkan air perigi dan air paya yang berdekatan. Ia hanya memerlukan pam untuk menyedut air dari perigi dan paya ke tangki simpanan air mentah dan seterusnya melalui proses penapisan sebelum disimpan di tangki air bersih. Air didalam tangki tersebut adalah selamat untuk diminum. Alat penapis ini boleh menapis sehinggan 3000 gelen sehari dengan menggunakan kuasa eletrik dari generator.

Inovasi sistem penapis air ini telah diimplementasi di Kampung Batu Balai Kerdau kerana kawasan ini sering terdedah kepada banjir dan mempunyai masalah ketiadaan air di waktu-waktu kecemasan. Oleh kerana itu, lokasi pemasangan alat ini juga terletak di kawasan yang agak tinggi dan berbukit bagi memastikan ia tidak terjejas sekiranya berlaku banjir yang besar.

Inovasi tersebut dibangunkan menerusi program INOVASI SOSIAL MOSTI atau MOSTI SOCIAL INNOVATION (MSI). Program MSI ini adalah berteraskan program jangkau luar (outreach) ke peringkat akar umbi telah dilancarkan pada 16 April 2015.  MSI merupakan dana yang disediakan oleh Kerajaan bagi tujuan membantu kumpulan sasaran melalui pembangunan atau pelaksanaan idea sama ada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial (meeting unmet social needs).  MOSTI telah membiayai 77 buah projek secara keseluruhannya pada tahun 2015 yang melibatkan 16 buah agensi yang bertindak sebagai penyedia teknologi bagi projek-projek yang terpilih. YB Datuk Seri Panglima Madius berkata dalam ucapannya di Kampung Batu Balai Kerdau, “Adalah menjadi harapan saya agar ramai lagi  inovator-inovator dan pengusaha tempatan lain akan muncul dengan idea-idea inovatif terutama ke arah menghasilkan produk yang dapat membantu menangani kesusahan sosial masyarakat dan akhirnya dapat menyumbang kepada tahap kesejahteraan dan kualiti kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.”.

Caption: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi, Y.Bhg. Dato’ Dr. Mohd Azhar bin Yahaya memberikan ucapan perasmiannya di Kampung Batu Balai Kerdau, Temerloh Pahang.

 

Caption: Pengerusi JKKK Kg Paya Taram, En Raghani (tengah) mencuba air dari Sistem Penapis Air Inovatif ini.

 

Majlis tersebut yang dihadiri oleh pemimpin setempat, dan penduduk-penduduk kampung, berharap projek ini dapat memberi impak di dalam kampung mereka supaya dapat bersama-sama dalam membangunkan ekonomi negara.

Untuk maklumat lanjut hubungi:
Mohd Zulfadli/ Azmeer Rosli
Pengurus Projek, Yayasan Inovasi Malaysia
zulfadli@yim.my/ azmeer@yim.my
(012 360 3172/ 013 711 0179)

Tentang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Kementerian ini telah ditubuhkan pada 1973 sebagai Kementerian Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan. Pada tahun 1976, selaras dengan fungsi dan tanggungjawab baru yang berkaitan dengan isu-isu alam sekitar, nama Kementerian telah ditukar kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE). Seterusnya, Jemaah Menteri pada 27 Mac 2004 telah bersetuju dengan penstrukturan semula MOSTE dan nama Kementerian ditukar kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menerajui fungsi pembangunan ICT negara, Multimedia dan Inovasi. Pada tahun 2007, fungsi sains dan teknologi dipecahkan mengikut kluster Bioteknologi, ICT, Industri, Angkasa, Laut dan Atmosfera dan Teras Sains dan Teknologi.

Tentang YIM
Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah ditubuhkan pada 20hb Oktober 2008  dan mula beroperasi pada tahun 2010. Objektif YIM ialah menggalakkan dan menimbal daya kreativiti dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia, terutama sekali golongan penduduk luar bandar, kanak kanak dan belia, wanita, orang berkelainan upaya dan organisasi bukan kerajaan.

YIM telah menubuhkan dan menjalankan beberapa program seperti Jejak Inovasi, School Club Innovation Toolkit, Teh Tarik Talk (3T), #popinnovation, Innovation Catalyst (1CATs) dan program yang terkini ialah program Inovasi Inklusif – Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6). Dengan sokongan rapat daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan SME Corp Malaysia, inisiatif ini menjadi kayu pengukur kepada pembangunan Inovasi di Malaysia.

 



[ Back ] [ Print Friendly ]