Cipta Pembaris Mudah Menjahit: Nur ‘Athirah Bantu Suri Rumah Tingkat Kemahiran

Puan Nur ‘Athirah Razali merupakan salah seorang pemenang dalam Cabaran Inovasi Inklusif 2017 di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6). Program ini digerakkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama SME Corp. Produk beliau yang dikenali sebagai Express Sewing Ruler mampu mengubah cara dan teknik belajar menjahit dengan lebih pantas. Inovasi beliau ini memberi impak kepada komuniti dengan membantu golongan wanita khususnya suri rumah untuk belajar menjahit seterusnya menambah pendapatan keluarga. Ini adalah kisah beliau.

 

Athirah

Segalanya bermula dengan minat. Minat mendalam terhadap bidang jahitan tidak pernah padam dalam diri Nur ‘Athirah. Walaupun telah melakukan pelbagai pekerjaan sepanjang hidupnya, beliau sentiasa mempunyai ruang dan masa untuk menjahit. Ketika di zaman persekolahan lagi, minatnya dalam bidang jahitan terserlah. Lebih-lebih lagi apabila mengikuti subjek seni reka fesyen. “Saya utamakan kekemasan dalam jahitan. Ini yang menarik perhatian rakan-rakan untuk membuat tempahan baju dan pakaian lain,” kata Nur ‘Athirah. Tidak cukup dengan itu, kepakaran beliau turut dikongsi bersama rakan-rakannya. Beliau tidak lekok untuk mengajar teknik menjahit yang sekian lama dipelajarinya.Bermula dari kelas mengajar kecil-kecilan, Nur ‘Athirah berusaha untuk memberikan cara penyampaian dan pengajaran yang mudah untuk difahami. “Rata-rata yang mengikuti kelas jahitannya merupakan suri rumah yang tidak mempunyai pengalaman menjahit,” jelas beliau. “Mereka mahu menambah pendapatan dengan menjahit,” tambah beliau lagi. Jahitan mesin memerlukan teknik dan cara yang betul bagi mendapatkan hasil yang baik dan kemas.

 

Pengalaman yang berharga dalam menghasilkan pakaian terbaik dikongsi bersama dengan mereka. Kebiasaannya, beliau akan menggunakan formula ukuran tersendiri bagi setiap bahagian baju seperti lengan, pinggang, kaki dan sebagainya. Formula ini disusun khusus oleh Nur ‘Athirah berdasarkan pengalamannya. “Selalunya, pengiraan dilakukan secara manual dan ianya bergantung kepada cara tukang jahit itu sendiri. Menggunakana formula-formula ini, saya yakin ianya boleh mempercepat dan memudahkan penjahit untuk membuat ukuran yang tepat berdasarkan fesyen yang dikehendaki,” kata beliau.

 

Express Sewing Ruler

Walaubagaimanapun, formula ini sukar untuk diaplikasi oleh pelajar-pelajar beliau. Hal ini kerana formula terlalu banyak dan ianya perlu digunakan bersama pembaris yang pelbagai bentuk dan saiz. “Di pasaran, telah dijual beberapa peralatan berupa pembaris yang berbagai bentuk untuk digunakan sebagai alat pengukur. Di pembaris itu pula hanya mempunyai beberapa corak dan ukuran asas sahaja,” luah Nur ‘Athirah. Bagi beliau, pembaris sedia ada tidak mencukupi untuk diaplikasikan bersama formula yang direkanya. Melihat kepada kesukaran para pelajarnya, beliau mendapat satu idea untuk mereka bentuk pembaris khas yang sesuai dengan formula dan kaedah pengajarannya. Maka, terhasillah produk yang dinamakan Express Sewing Ruler. Produk ini merupakan satu set pembaris yang mempunyai formula khas tersedia padanya.

 

Versi awal Express Sewing Ruler

 

Versi tambah baik.

 

Dengan adanya produk ini, lebih ramai orang boleh belajar menjahit dengan cepat dan mudah. Inovasi ciptaan Puan Nur ‘Athirah pada awalnya menyasarkan golongan ibu tunggal dan suri rumah yang ingin belajar menjahit seterusnya menambah pendapatan keluarga. “Saya berharap produk ini mampu meningkatkan motivasi pelajar untuk terus meningkatkan kemahiran mereka,” Beliau percaya dengan adanya set pembaris ini, produktiviti hasil jahitan akan lebih meningkat. Selain itu, manfaat produknya ini turut dikongsi dengan komuniti luar bandar serta pelajar sekolah dan kolej. Bagi golongan pelajar, set pembaris ini mampu menarik minat mereka untuk belajar menjahit.

Dengan kerjasama YIM, produk Express Sewing Ruler mendapat suntikan dana untuk ditambahbaik dari pelbagai aspek. Antara aspek yang sering ditekankan oleh YIM ialah kebolehpasaran satu-satu produk. Koordinator projek ini, Encik Ruzaimi Haron berkata, walaupun produk ini telah dijual, namun beberapa perubahan perlu dilaksanakan. “Antaranya ialah perubahan pada pembungkusan yang menjadikannya lebih menarik dan senang untuk dibawa,” jelas beliau. YIM juga membantu menyediakan manual produk untuk membantu pengguna baru. “Kita (YIM) turut sediakan video tutorial bagi memudahkan pengguna,” tambah beliau. Seperti mana produk baru yang lain, terdapat risiko berlakunya ciplak. Produk Express Sewing Ruler bukan sahaja berjaya dipasarkan dalam negara, malah mendapat tempat di negara Brunei dan Indonesia. “Untuk mengelakkan berlakunya kes-kes ciplak dan barang tiruan di dalam mahupun luar negara, YIM membantu Puan Nur ‘Athirah mendapatkan lesen hak cipta supaya produknya dilindungi oleh undang-undang yang berkaitan,” ujar Ruzaimi.

 

Bungkusan produk yang lebih baru hasil bantuan YIM. Info produk boleh didapati di FB D’Athirah.

Di samping itu, YIM membantu menyediakan laman sesawang yang lebih baik yang turut membolehkan belian dalam talian dilakukan. Dengan adanya sistem ini, jualan boleh dilakukan pada bila-bila masa. “Sistem jualan dalam talian sangat membantu meningkatkan promosi dan jualan produk ini,” kata Nur ‘Athirah. Tidak cukup dengan itu, YIM bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi membantu dalam mempromosi produk ini. Sepertimana inovator lain, Puan Nur ‘Athirah turut dibekalkan dengan kemahiran dalam menguruskan perniagaannya. YIM menyediakan bengkel dan latihan berkenaan pengurusan perniagaan dan bengkel kreatif supaya beliau mampu untuk terus bersaing dan mengembangkan produk yang lain. Kini beliau turut dibantu bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia yang akan meningkatkan kebolehpasaran diri dan produknya. Sebagai pengasas produk, beliau sering dijemput untuk mengajar menjahit di banyak tempat. Namun, beliau merasakan perlunya satu pusat tetap untuk beliau mengajar khususnya di kawasan luar bandar yang berpotensi tinggi. “Untuk itu, YIM dalam usaha membangunkan sebuah studio yang menjadi pusat setempat bagi aktiviti atau kelas menjahit. Pusat ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk membangunkan ekonomi komuniti,” jelas Ruzaimi yang menyifatkan usaha Nur ‘Athirah perlu dikembangkan dengan sebaiknya.

 

Produk inovasi ciptaan Puan Nur ‘Athirah ternyata memenuhi ciri-ciri inklusif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Malah Express Sewing Rulerini berkualiti tinggi dan mampu dimiliki oleh golongan sasaran. Produk ini bukan sahaja memberi pendapatan kepada beliau, malah turut menjana ekonomi kepada pengguna dan pengedar produk ini. YIM sentiasa menyokong perkembangan inovasi sebegini yang memberi manfaat kepada ramai orang dan secara tidak langsung merapatkan jurang akses.

Leave A Comment