Efinity EZ Water Filter Cap

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Pengalaman Puan Teng Yu Mein melawati sebuah perkampungan orang Asli di Kampong Orang Asli Batu 16, Gombak, Selangor pada tahun 2016 telah mengubah sisi kehidupannya hari ini. Bersama-sama rakannya, beliau bukan sahaja merasai pengalaman kehidupan di kawasan pedalaman, malah turut terkesan dengan kesusahan yang dialami oleh komuniti orang Asli. Seperti sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu, Puan Yu Mein merasakan terdapat sesuatu yang boleh disumbangkan kepada komuniti ini.

Dalam lawatan amal itu, beliau mendapati air yang digunakan oleh orang Asli ini tidak bersih. Hal ini kerana mereka tidak mendapat bekalan air paip dan terpaksa menggunakan air sungai. Warna air yang digunakan dalam kehidupan seharian kelihatan kekuningan malah berkeladak kerana tidak ditapis dan dirawat dengan baik. Komuniti ini mengatakan bahawa keadaan sebegini sudah biasa, lebih-lebih lagi selepas hujan membasahi kawasan setempat. Oleh kerana tiada saluran sumber air yang tetap, mereka perlu menyimpan air dalam satu bekas yang besar. Namun, air ini tidak boleh digunakan terus. Bagi mendapatkan air yang lebih bersih, mereka terpaksa menunggu supaya sampah dan kotoran terkumpul. Selepas itu, mereka menggunakan pakaian sebagai penapis sebelum air tersebut digunakan untuk minum dan memasak.

Pengalaman yang dilalui oleh Puan Yu Mein telah membuka matanya. Kesusahan yang dihadapi oleh komuniti orang Asli bagi mendapatkan air bersih bukan bersifat lokal. Malah isu ini sebenarnya turut dialami oleh penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman, baik dalam mahupun luar negara. Masalah ini dilihat sebagai peluang oleh beliau untuk membantu golongan ini. Beliau merasakan terdapat cara yang lebih baik untuk mendapatkan air yang lebih bersih. Atas inisiatif sendiri, Puan Yu Mein membuat carian dan kajian tentang sistem penapisan air. Di rumahnya sendiri, terdapat alat penapis air yang berasaskan seramik yang mampu mengeluarkan air yang sangat bersih. Namun begitu, sistem ini memerlukan tekanan air yang tinggi bagi membolehkan proses penapisan berlaku. Isunya ialah kawasan pedalaman tidak mendapat bekalan air paip. Mereka hanya mengumpul air secara tradisional. Alternatif lain yang boleh difikirkan ialah menggunakan enjin motor bagi mengepam air, namun sumber eletrik juga tiada di kawasan tersebut. Malah, pendapatan komuniti orang Asli yang sederhana menyukarkan mereka untuk membeli dan menampung fasiliti yang lengkap dan baik.

Tanpa sumber air paip bertekanan tinggi dan juga bekalan eletrik, cabaran untuk membolehkan sistem penapisan air berjalan serta berfungsi semakin mencabar. Terlintas di fikiran Puan Yu Mein untuk menggunakan tenaga solar dan generator, namun idea ini sukar untuk direalisasikan melihatkan kekangan kehidupan komuniti orang Asli ini. Sehinggalah suatu hari, beliau menemukan idea untuk masalah ini. Ketika sedang menyeterika baju, beliau menggunakan botol penyembur air dan menyedari mekanisme tekanan yang digunakan ketika menyembur air. Waktu itulah beliau mendapati tekanan air boleh dilakukan secara manual dan praktikal. Idea ini kemudiaannya diterjemahkan ke dalam bentuk protaip yang boleh berfungsi dengan menyambungkannya dengan penapis air. Ciptaan ini sudah cukup untuk melayakkannya menyertai pertandingan Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRIs) yang dianjurkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Penyertaannya ternyata berbaloi kerana terpilih menjadi enam peserta terbaik. Hasilnya, beliau telah mendapat geran bantuan sebanyak RM30, 000 bagi membentuk produk akhir yang lebih baik. Menerusi geran ini, YIM membantu Puan Yu Mein dalam pelbagai aspek – bermula dengan menambahbaik produk sehinggalah memasarkan produk tersebut.

Bagi menghasilkan produk yang lebih baik, prototaip beliau mendapat sentuhan pakar. Kerjasama ini sangat bermanfaat untuk penjadikan produk yang baik. Dalam masa yang sama, Puan Yu Mein juga kerap berulang-alik ke beberapa perkampungan orang Asli bagi mendapatkan maklum balas tentang masalah yang dihadapi oleh mereka berkenaan air bersih. Segala dapatan dalam lawatan ini digunakan bagi menambahbaik inovasi produknya supaya praktikal untuk digunakan. Hasilnya, pakar mencadangkan supaya pam mudah alih seperti yang digunakan untuk basikal dimanfaatkan. Menerusi pam ini, tekanan lebih mudah dilakukan. Apabila pengepaman dilakukan, tekanan udara disalurkan menggunakan penutup khas ke dalam botol air 1.5 liter yang berisi air. Menggunakan penutup khas ini juga, air yang bertekanan tinggi disalurkan pula ke sistem penapis. Hasilnya, air bersih yang siap ditapis boleh terus diminum. Penutup khas inilah yang merealisasikan idea inovasi Puan Yu Mein. Kini, produk inovasi beliau dikenali sebagai Efinity Ez Water Filter Cap.

Bantuan YIM bukan terhenti setakat itu. Hal ini kerana hasrat YIM adalah untuk menjadikan inovator sebagai usahawan yang mampu bersaing di pasaran dalam negara dan juga luar negara. YIM turut memberikan sumbangan dari aspek nasihat pengurusan dan perniagaan. Puan Yu Mein dilatih untuk merancang menguruskan produknya untuk terus berdaya saing pada masa akan datang. Malah, YIM turut membantu mengeluarkan Efinity Ez Water Filter Cap pada skala besar untuk dipasarkan. Sehingga hari ini, produk beliau mendapat tempat dalam komuniti orang Asli. Tidak cukup dengan itu, produknya telah membantu mangsa banjir di Sri Lanka. Malah, beliau sedang bekerjasama dengan UNICEF untuk menyalurkan produknya kepada komuniti di negera dunia ketiga yang menghadapi krisis bekalan air bersih. Tambahan pula, Puan Yu Mein melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan produknya di Kazakhstan dalam satu pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bermula dari seorang suri rumah tangga, keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi oleh orang lain menjadikan Puan Teng Yu Mein seorang inovator dan usahawan yang berjaya. Kini beliau gembira kerana bukan sahaja dapat membantu komuniti untuk mendapatkan air yang bersih, malah turut meningkatkan pendapatannya. Kisah kejayaan beliau wajar dijadikan inspirasi oleh setiap golongan masyarakat untuk menjadi kreatif dan inovatif.

2018-04-20T12:39:55+00:00April 20th, 2018|Innovation Trending, Malaysia Innovation, News & Articles, YIM|0 Comments

Leave A Comment