2017

Medi Bike Exerciser

Innovators

Syuhadah Sufian

Innovation Story

Saban tahun, sektor kesihatan menjadi keutamaan kerajaan menerusi peruntukan dalam bajet tahunan. Dalam Bajet 2017, sebanyak RM25 bilion diperuntukkan bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan. Dana ini bukan sahaja meliputi pembinaan dan penaiktarafan hospital dan klinik, tetapi juga melibatkan penyediaan peralatan yang sesuai di pusat-pusat kesihatan, baik di bandar mahupun di luar bandar. Dengan subsidi yang besar diberikan, pusat kesihatan milik kerajaan sentiasa menjadi pilihan rakyat yang memerlukan rawatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Di sebalik kelebihan yang ditawarkan, peralatan yang disediakan masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan pesakit. Di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), masalah ini turut dihadapi oleh Unit Rehabilitasi yang menguruskan rawatan pemulihan kepada ramai pesakit. Dalam rawatan pemulihan, peralatan yang sesuai amat penting kerana ia akan membantu meningkatkan kemampuan pesakit untuk pulih dan bertambah baik. Mengumpul minat dan semangat yang sama, Puan Syuhadah Sufian dan rakan sekerjanya di Unit Rehabilitasi IPPT bergabung tenaga dan idea untuk mencipta satu inovasi dalam usaha mengurangkan masalah yang kerap berlaku di unit mereka.

Usaha mereka membuah hasil apabila berjaya menghasilkan sebuah alat senaman yang dikenali sebagai Medi – Bike Exerciser (MBE). Idea untuk menghasilkan alat senaman ini pada awalnya tercetus untuk mengatasi beberapa masalah yang dihadapi oleh Unit Rehabilitasi seperti kekurangan alat senaman yang berkesan dan efisyen untuk merawat pergerakan anggota atas dan bawah. Masalah ini turut ditambah dengan masa rawatan pesakit yang panjang yang seterusnya menyumbang kepada lambakan pesakit yang tidak didiscaj.

Di Unit Rehabilitasi, mereka menerima ramai pesakit yang mengalami masalah kelemahan otot (paresis), kelumpuhan atau strok, ketidakseimbangan dan masalah koordinasi pergerakan anggota badan atas (atas pinggang) dan bawah (bawah pinggang). Menggunakan peralatan yang terhad, pesakit ini perlu melakukan aktiviti senaman anggota badan atas dan bawah yang lama dan memenatkan. Secara tidak langsung, masa untuk bertukar giliran pesakit semakin bertambah. Malah, bilangan pesakit menjalani rawatan rehabilitasi semakin meningkat disebabkan ketidakmampuan memiliki peralatan sendiri untuk menjalankan rawatan sendiri di rumah. Menghadapi masalah-masalah ini, MBE dicipta sebagai alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak. Sebelum ini, rawatan hanya boleh dilangsungkan berasingan berikutan peralatan yang berlainan untuk anggota atas dan bawah badan. Dengan menggunakan MBE, masa rawatan dapat disingkatkan dengan signifikan sebanyak 50% seterusnya mengurangkan masa menunggu giliran pesakit.

Dari aspek struktur dan reka bentuk, MBE sangat ringkas buatannya. Ia berbentuk seakan basikal yang mempunyai empat pedal – dua untuk tangan dan dua untuk kaki. Tujuannya ialah untuk membolehkan bahagian atas dan bawah badan pesakit bergerak serentak. Di samping itu, MBE boleh dilaras mengikut kedudukan dan ketinggian pesakit. Ciri ini bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada pesakit, tetapi juga dapat mengekalkan postur tubuh badan yang ergonomik. Dengan adanya ciri sebegini, semua golongan pesakit dapat menggunakan MBE pada jangka masa yang lama tanpa berasa lenguh dan tidak selesa. Ia penting kerana pesakit sedia ada sudahpun menghadapi kesukaran untuk melakukan pergerakan anggota tubuh badan. Oleh kerana bentuknya yang fleksibel, pengguna terutamanya pesakit boleh mengayuhnya dengan mudah daripada pelbagai lokasi seperti di katil, kerusi roda, kerusi dan lain – lain tempat yang bersesuaian.

Diperbuat daripada besi yang kukuh dan tahan karat, MBE hanya mempunyai berat 6.7 kg sahaja dan turut dilengkapi roda supaya mudah dipindahkan. Malahan, MBE mempunyai rintangan beban boleh laras yang boleh disesuaikan dengan kekuatan dan tahap kesihatan pesakit. Ia turut dilengkapi getah pada tapak untuk mengurangkan gelinciran. Kelebihan lain ialah MBE boleh dilipat menjadikan penyimpanan lebih mudah untuk perjalanan yang jauh seperti di dalam kereta.

Antara objektif utama MBE ialah menjadi alternative yang lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua orang. Menariknya, MBE berjaya dihasilkan menggunakan kos yang jauh lebih murah berbanding peralatan berjenama lain. Harga jualan bagi satu unit MBE ialah hanya RM700 seunit berbanding harga mencecah ribuan bagi produk sedia ada di pasaran. Malah, MBE tidak memerlukan bekalan eletrik untuk digunakan. Dengan harga ini, pesakit mampu memiliki dan melakukan rehabilitasi di rumah masing-masing tanpa perlu berulang-alik ke hospital.

Menyedari kelebihan dan kepentingan yang ada pada MBE, Yayasan Inovasi Malaysia telah menempah sebanyak 20 unit untuk disumbangkan kepada pesakit yang tidak berkemampuan. Sebanyak RM12, 000 disalurkan kepada inovator untuk menghasilkan MBE pada skala yang lebih besar. Dengan tempahan ini, bukan sahaja pesakit, malah inovator juga mendapat manfaat hasil dari jualan tersebut. Sebagai salah satu agensi kerajaan yang merakyatkan inovasi, YIM melihat MBE sebagai satu produk yang perlu dikongsi bersama khususnya golongan yang memerlukan. MBE memenuhi ciri inovasi inklusif yang mempunyai kualiti tinggi pada harga mampu milik. Jurang akses kepada peralatan kesihatan semakin kecil dengan adanya produk seperti MBE ini

Kejayaan pihak Unit Rehabilitasi USM menghasilkan produk inovasi sebegini menunjukkan potensi dan nilai inovasi yang ada pada setiap lapisan masyarakat. Bukan setakat menjana pendapatan, produk inovasi yang dihasilkan mampu dinikmati oleh lebih ramai orang. YIM telah dan sentiasa komited dalam usaha mengangkat inovasi akar umbi ke tahap yang lebih tinggi.

Related Innovations

Medi Bike Exerciser

2017

Saban tahun, sektor kesihatan menjadi keutamaan kerajaan menerusi peruntukan dalam bajet tahunan. Dalam Bajet 2017, sebanyak RM25 bilion diperuntukkan bagi...

Affordable Wheelchair

2016

Kadang kala, hidup tidak seindah yang kita sangka. Setiap orang diberikan ujian yang berbeza mengikut kemampuan diri sendiri. Paling penting...

Get In Touch With Us

If you are interested in finding more information on what we do or would like to inquire on a potential partnership or collaboration, kindly complete the following form and we will reach out to you!

Founded since October 2008, our vision is to drive innovation and creativity amongst Malaysians, targeting children, youth, women, disabled people, rural communities and non-government organizations.

Location

Unit L3-E-1A & L3-E-1B,
Level 3, Enterprise 4,
Technology Park Malaysia,
57000 Bukit Jalil,
Kuala Lumpur

Contact Us
Let's stay in touch

Subscribe to us and receive  the latest news and events from the MALAYSIA INNOVATION FOUNDATION