Inovasi Makanan Tempatan Penjana Pendapatan Lumayan

Angin pantai bertiup perlahan di pagi hari. Bot-bot kecil yang tertambat di pesisiran pantai berayun-berayun mengikut rentak angin. Kelihatan beberapa orang nelayan sibuk bersiap-siap untuk turun mencari rezeki. Begitulah rutin harian kebanyakan penduduk di Pulau Bruit yang mencari hasil laut untuk dijual. Jika ditanya tentang pulau ini, pasti ramai yang kurang mengenalinya. Pulau Bruit merupakan sebuah pulau yang terletak di antara Kuala Paloh dengan Kuala Lassa Daerah Daro, Bahagian Mukah, Sarawak. Dikelilingi Laut China Selatan, pulau ini menjadi tumpuan produk makanan laut. Antara produk yang terkenal di sini ialah ikan Lumek Salai. Jika ikan Terubuk terkenal dengan keenakannya, ikan Lumek pula boleh mempunyai cirinya yang tersendiri.

“Ikan Lumek kurang digemari kerana ianya berlendir dan rupanya yang buruk,” kata seorang nelayan di sini. Oleh kerana lendir tersebut, ramai orang tidak memakannya. Di Pulau Bruit, mereka mempunyai banyak lagi pilihan ikan segar yang menarik. Kesannya, berlaku lambakan spesis ini pada tiap-tiap musim kerana kekurangan permintaan domestik. Supaya tidak dibazirkan, masyarakat di Pulau Bruit mengambil inisiatif untuk menyalai ikan Lumek ini. “Jadi kami salai dan keringkannya. Lebih sedap begini,” tambah beliau sambil tersenyum. Kelebihan ikan Lumek salai ini ialah ianya boleh disimpan dalam tempoh waktu yang lama. Malah, hilangnya sifat lendir selepas disalai memudahkan lebih ramai orang menikmatinya. Walaupun begitu, permintaan ikan Lumek Salai masih lagi rendah. Ia sekadar dijadikan makanan sampingan dalam menu seharian. Lagi pula, ia terpaksa bersaing dengan makanan kering yang lain. Namun, ikan Lumek Salai tetap sesuatu yang istimewa di sini. Cubaan untuk memasarkan ikan Lumek ke luar Sarawak pula tidak mendapat sambutan. Keadaan ini membawa kepada lebihan ikan Lumek salai.

“Orang luar tak pandai makan ikan lumek,” seloroh Puan Norshafiza Zakaria. Beliau berpindah ke Sarawak kerana mengikuti suaminya. Sudah berada lama di sini, beliau seakan terbiasa dengan selok-belok perkampungan nelayan di Pulau Briut. Situasi lambakan ikan Lumek salai ternyata menarik beliau dan beberapa orang rakannya, Nurul Dafiqah Kamarudin dan Shafrine Mohd Morshidi. “Bagus juga jika dihasilkan produk baru menggunakan Lumek salai,” kata salah seorang daripada mereka. Setelah berbincang, maka terbentuklah idea untuk menghasilkan serunding. Di pasaran sedia ada, serunding yang terkenal ialah serunding daging, ayam, dan juga ikan. Bagi serunding ikan, memang tidak pernah lagi dihasilkan menggunakan ikan Lumek. Idea ini merupakan satu inovasi kerana ikan Lumek tidak pernah digunakan untuk menghasilkan produk hiliran lain selain hanya disalai sahaja. “Idea serunding muncul dengan harapan orang ramai boleh menikmati ikan Lumek dengan cara berbeza,” kata Puan Norshafiza. Malah katanya lagi, serunding merupakan makanan yang sentiasa mendapat sambutan, lebih-lebih ketika musim perayaan. Maka, lebih mudah untuk dikomersialkan produk serunding ini ke pasaran luar Sarawak. Bagi mendapatkan rasa yang enak, mereka menggunakan resepi turun temurun yang disesuaikan dengan ikan Lumek Salai. Menariknya, resepi ini tidak menggunakan bahan pewarna dan pengawet tiruan. “Rasanya asli dan menepati citarasa orang Malaysia.

Bermula secara kecil-kecilan, Puan Norshafiza dan rakannya menggunakan peralatan dapur di rumah. Bahan utama iaitu ikan Lumek salai diperolehi melalui orang kampung di Pulau Briut. Kebiasaannya, ikan Lumek disalai secara tradisional. Ikan ini dijemur dan dikeringkan di bawah pancaran matahari di tempat terbuka. Percubaan pertama kali tidak semudah yang disangka. Mereka mendapati ikan Lumek salai masih lagi tidak kering sepenuhnya. “Kebanyakan ikan masih lagi berlendir dan kami terpaksa menggunakan oven,” jelas Puan Norshafiza. Proses untuk menghasilkan serunding menggunakan masa yang lama kerana kekangan peralatan. Namun semuanya berbaloi apabila serunding istimewa ini diterima oleh orang kampung dan rakan sekerja. Ia seakan memberi semangat kepada mereka untuk terus bergerak ke hadapan. Usaha untuk memasarkan produk ini ke seluruh Malaysia dan luar negara perlu diteruskan.

Kekangan dari sudut kemudahan dan peralatan ternyata memberi cabaran terbesar kepada kumpulan ini. Menyedari kekangan ini, mereka membawa produk serunding ikan Lumek salai menyertai program beberapa program inovasi. “Kami kekurangan dana untuk membeli peralatan besar dan sesuai. Ini antara usaha kami untuk dapatkan bantuan,” jelas Puan Norshafiza. Ini sebagai salah satu cara untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk membangunkan perusahaan kecil-kecilan mereka ini. Sehinggalah pada suatu hari, mereka tertarik dengan sebuah program yang dijalankan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Program yang dinamakan sebagai Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRIs) ini mencari inovasi akar umbi yang mempunyai potensi untuk dibantu dan dibangunkan.

Percaya dengan kelebihan yang terdapat pada produk mereka, Puan Norshafiza dan rakan-rakannya membawa masuk serunding Lumek salai untuk dipertandingkan. Ditakdirkan, rezeki berpihak kepada mereka apabila terpilih sebagai salah seorang pemenang. Bermakna, mereka layak untuk menerima geran bantuan sebanyak RM30,000 untuk pembangunan produk.

Di pihak YIM, mereka membantu inovator supaya menjadi usahawan yang berjaya dan mampu berdiri sendiri. Untuk itu, kumpulan ini dibekalkan dengan beberapa buat mesin seperti pemotong, pengisar, mesin vakum dan ketuhar yang mampu menghasilkan produk pada skala yang besar. Dengan adanya mesin vakum, pembungkusan serunding lebih mudah dan tahan lama. Dengan penghasilan berskala besar, Puan Nurul Dafiqah turut membantu komuniti tempatan dengan mendapatkan ikan Lemuk salai daripada mereka. Usaha ini sedikit sebanyak menambah pendapatan malah memberi peluang pekerjaan kepada mereka. “Permintaan ikan Lumek salai diharap mampu meningkatkan ekonomi komuniti nelayan di sini,” kata beliau yang merujuk kepada penduduk di Pulau Bruit. Usaha yang ditunjukkan oleh Puan Norshafiza perlu dicontohi. Beliau dan kumpulannya melihat masalah lambakan ikan Lumek salai sebagai satu peluang untuk membangunkan satu produk baru. Dengan semangat yang tinggi, mereka berusaha sedikit demi sedikit sehingga berjaya. Di sebalik itu, usaha memberi bantuan kepada inovator tempatan perlu diteruskan kerana masih banyak potensi yang boleh diketengahkan.

Leave A Comment