INOVASI PERLUKAN CIRI ‘DEMAND-DRIVEN’ UNTUK KUKUHKAN FASA PENGKOMERSIALAN

Inovator perlu hasilkan produk atau perkhidmatan yang mendapat permintaan tinggi daripada golongan sasaran, jelas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC). YB Yeo Bee Yin berucap demikian ketika Sesi Dialog Dengan Inovator Muda Bersama Menteri yang diadakan sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2018 di Dewan 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Sesi dialog ini menjadi penutup penganjuran MCY yang berlangsung serentak dengan IGEM2018. Encik Tany Anthony Kiob, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Inovasi Malaysia turut berada di atas pentas selaku moderator sesi tersebut.

YB Yeo Bee Yin ketika menjawab soalan daripada hadirin.

Jelas YB Yeo Bee Yin lagi, inovator perlu bijak dalam mencipta satu-satu inovasi supaya ianya mendapat sambutan yang baik. “Inovator perlu tahu masalah yang timbul terlebih dahulu sebelum mencipta solusi. Jika tidak, tiada permintaan terhadap inovasi tersebut,” jelas beliau lagi.

 

Ketika ditanya tentang bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan, beliau menjelaskan MESTECC akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan menerusi agensi-agensi di bawahnya. “Kita mempunyai banyak dana pembangunan dan pengkomersialan yang akan diagihkan oleh agensi. Namun MESTECC dalam proses menstruktur semula agensi-agensi ini supaya dana dapat dibahagi dengan strategik. Malah, kita akan bina ekosistem yang lebih baik,” kata YB Yeo Bee Yin. Menerusi penyusunan semula agensi, Menteri turut berkata akan wujud bahagian khas untuk membantu mengkomersialkan inovasi dan kajian dari university tempatan.

 

Selain itu, wakil daripada belia orang Asli turut bertanyakan tentang bentuk-bentuk bantuan yang boleh disalurkan oleh MESTECC kepada komuniti mereka. “Kita akan bekerjasam dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membantu membangunan inovasi dan infrastruktur dalam komuniti orang Asli,” kata YB Yeo Bee Yin ketika menjawab soalan tersebut. Tegas beliau lagi, peruntukan khas akan disalurkan kepada mereka.

 

Wakil komuniti Orang Asli bertanyakan soalan kepada YB Menteri.

Sesi dialog ini turut mendapat cadangan supaya subjek pengaturcaraan dimasukkan dalam silibus. Menteri menyokong dan akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tindakan susulan. “Bukan sahaja pengaturcaraan, malah juga kesedaran alam sekitar akan dicadangkan kepada KPM. Namun ianya akan mengambil masa kerana silibus ditukar dalam satu-satu tempoh yang ditetapkan,” jelas beliau.

 

Pertanyaan tentang STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) turut diajukan kepada Menteri. Persoalan ini timbul berikutan dakwaan fokus MESTECC hanya tertumpu kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan tidak lagi mengangkat bidang seni yang turut penting dalam inovasi. Menjawab soalan ini, YB Yeo Bee Yin menjelaskan bahawa AI (artificial intelligent) kini sudah mampu menggantikan seni. “AI boleh buat dan ganti banyak benda,” kata beliau. Dalam masa yang sama, beliau akan membawakan cadangan ini kepada pihak KPM.

 

Di akhir ucapannya, YB Yeo Bee Yin menyeru supaya inovator dan usahawan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh dan percaya bahawa hari esok lebih baik berbanding hari ini.

 

2018-10-26T12:01:19+00:00October 26th, 2018|Uncategorized|0 Comments

Leave A Comment