Kerusi Roda Mampu Milik: Dari Pengguna Untuk Pengguna

Kadang kala, hidup tidak seindah yang kita sangka. Setiap orang diberikan ujian yang berbeza mengikut kemampuan diri sendiri. Paling penting ialah ketabahan kita untuk meneruskan kehidupan. Bagi Encik Fariz Abd. Rani, kemalangan yang menimpanya ketika masih belajar di universiti awam telah banyak mencorak hidupnya pada hari ini. Sejak dari peristiwa itu, beliau terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda. Namun, perubahan ini bukanlah bererti berakhir segala-galanya. Perlahan-lahan beliau bangkit untuk menunjukkan sesiapa sahaja boleh berjaya. Kini beliau mempunyai syarikat perusahaan sendiri dan telah memberi inspirasi kepada golongan yang senasib dengannya. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada anak kelahiran Likas, Sabah ini.

 

Fariz tetap optimis.

Memegang status orang kurang upaya (OKU), Fariz tidak merasakan ianya sebagai satu penghalang untuk terus berjaya. Malah, beliau sering memberi semangat kepada golongan yang senasib dengannya. “Masih ada sikap diskriminasi terhadap golongan OKU. Kita perlu atasi sikap ini dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar Fariz. Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu (Malaysia) sering menerima keluhan tentang masalah yang dihadapi oleh golongan ini. Bagi pengguna kerusi roda, masalah yang sering diluahkan ialah kos kerusi ini yang mahal. “Ramai di kalangan mereka berpendapatan rendah,” kata Fariz merujuk kepada pengguna kerusi roda. “Mereka sukar untuk mendapatkan kerusi roda yang berkualiti kerana harganya yang mahal,” jelas beliau lagi.

 

Melihat kesusahan yang dialami oleh golongan OKU ini, beliau menubuhkan sebuah syarikat bagi membekalkan kerusi roda dan kaki palsu. Di bawah syarikat bernama Orthovive Sdn Bhd atau sebelum ini dikenali sebagai JB Prosthetic & Rehab Supply Sdn. Bhd., Fariz mengemudi satu-satunya syarikat yang dimiliki penuh oleh bumiputera di Kota Kinabalu, Sabah yang berupaya menghasilkan, memasang dan membekalkan anggota palsu, dan peralatan rehabilitasi. Hospital tempatan dan orang perseorangan banyak menerima perkhidmatan daripada syarikatnya. Sokongan dan permintaan ini meningkatkan lagi keinginan beliau untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

 

Sememangnya, perusahaan ini dibina atas dasar untuk menolong golongan yang senasib dengannya. Fariz sedar bahawa kerusi roda yang terdapat di pasaran masih lagi mahal. Maka beliau berusaha untuk menghasilkan kerusi roda mampu milik dengan menggunakan kepakaran dan sumber tempatan. Malah, ketika membuka syarikat ini, beliau menerima banyak rungutan daripada pengguna kerusi roda sedia ada yang dibina tanpa mengikut spesifikasi yang betul. Ini menambah lagi kesusahan kepada pengguna. “Spesifikasi kerusi roda yang tidak boleh diubah menyebabkan banyak pengguna kurang selesa. Malah, kos penyelenggaraan juga mahal,” ujar Fariz.

 

Fariz (dua dari kanan) bersama rakan seperjuangan. (gambar dari Utusan)

Untuk menghasilkan kerusi roda yang diimpikannya, beliau berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi membesarkan operasi kilangnya. “Kemampuan dan sumber yang ada sekarang menyukarkan kita untuk melakukan proses R & D,” jelas Fariz. Menurut Fariz lagi, syarikatnya akan mengambil lebih banyak pekerja daripada golongan OKU. Usaha ini sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang kepada golongan ini untuk mengembangkan potensi diri mereka dan meningkatkan ekonomi mereka. “Dengan pembesaran operasi, kita mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak berkemampuan,” tambah beliau.

 

Sebelum ini, syarikat beliau telah pun berjaya memenangi pelbagai geran dan bantuan. Ia menunjukkan potensi dan kesungguhan yang ada pada Encik Fariz. Tidak ketinggalan, beliau turut membawa masuk idea kerusi roda mampu milik ini ke pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif yang dilaksanaka oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Hasilnya, beliau berjaya terpilih sebagai salah seorang pemenang dan layak menerima Geran Pembangunan Inovasi. YIM melihat usaha beliau mampu meringangkan beban yang ditanggung oleh pengguna kerusi roda. Koordinator projek ini, Mohd. Hanif Bin Norzari berkata, inovasi kerusi roda mampu milik yang diusahakan oleh Fariz menepati ciri inklusif yang memberi manfaat kepada golongan OKU. “Inovasi ini bukan sahaja meringangkan beban mereka, malah dengan peluang pekerjaaan yang disediakan, golongan OKU boleh meningkatkan kemahiran dan menambah pendapatan mereka,” jelas Mohd Hanif.

 

Penghasilan kerusi roda bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi banyak daripadanya diimport, khususnya dari China. “Dengan bantuan ini, YIM menyalurkan kepakaran untuk membantu membentuk kerusi roda terbaik dengan harga yang mampu milik. Ia termasuklah proses yang melibatkan penghasilan lukisan teknikal, prototaip, serta proses R&D,” jelas Mohd Hanif. Bagi Fariz, pengalaman pengguna sangat penting bagi memastikan kerusi roda yang dihasilkan selesa digunakan. “Segala maklum balas yang diberikan oleh pengguna kerusi roda sebelum ini akan ditambahbaik ke dalam produk baru ini,” kata Fariz. Beliau mahukan kerusi ini bukan sahaja mampu milik, malah turut selesa digunakan oleh pengguna. Dengan alat ganti yang dibina di kilang tempatan, ia akan mengurangkan kos penyelenggaraan sekiranya perlu.

 

Kerusi roda mampu milik ciptaan Orthovive Sdn Bhd milik Fariz.

Oleh kerana kerusi roda termasuklah dalam kategori kesihatan, YIM membantu mendapatkan Pensijilan Medical Device Authority (MDA) dan juga perakuan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja. Ini bagi memastikan kerusi roda yang dihasilkan menepati piawaian keselamatan pengguna. “Dengan adanya sijil sebegini, ia membuktikan kualiti yang ditawarkan oleh Orthovive Sdn Bhd mampu bersaing dengan produk daripada luar negara,” ujar Fariz yang mengharapkan produknya mampu menembusi pasaran luar. Bagi aspek pemasaran, YIM bekerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan lain untuk mempromosi kerusi roda mampu milik ini. “YIM sentiasa terlibat dalam aktiviti pameran dan pelbagai program lain yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta. Kita akan membawa produk inovasi ini untuk dipamer dan sekaligus mempromosinya,” kata Mohd Hanif.

 

Usaha yang ditunjukkan oleh Encik Fariz Abd. Rani wajar dicontohi oleh semua orang. Walaupun menghadapi masalah, ia tidaklah menjadi titik penamat bagi beliau. Malah usaha membangunkan syarikat pembuatan kerusi roda dan alat bantuan untuk golongan OKU menunjukkan hati budi beliau untuk membantu golongan ini. Kisah beliau menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja untuk berinovasi dalam menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian.

2018-06-12T14:54:23+00:00April 30th, 2018|Malaysia Innovation, News & Articles, YIM|0 Comments

Leave A Comment