Bermula dengan idea, setiap orang mampu menjadi inovator. Dari sisi pembangunan negara maju, inovasi dibangunkan dan dikongsi bersama oleh komuniti yang besar. Bermakna, idea inovasi perlu bersifat kolektif dan realistik. Apa yang penting ialah inovasi yang dikembangkan untuk merealisasikan idea tersebut. Pembangunan satu-satu inovasi pula pasti bermula pada peringkat paling asas iaitu mencetus pembaharuan.

Namun, tidak semua inovasi yang terhasil berjaya dikembangkan dengan baik. Pelbagai kekangan yang perlu dihadapi oleh inovator seperti masalah kewangan, pasaran dan sumber maklumat. Kesannya, pembaziran idea inovasi terus berlaku pada tahap akar umbi.

Berhadapan dengan keadaan ini, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) membuka ruang dan peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjadi inovator berjaya dan berdaya saing. Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Encik Tany Anthony Kiob berkata;

“Demi menggalakkan pertumbuhan inklusif, pergerakan inovasi akar umbi telah dimulakan dan dilancarkan oleh YIM bermula pada tahun 2011. YIM sentiasa memetakan arahnya untuk memenuhi aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju, berusaha untuk menjadi 20 negara teratas dalam pembangunan ekonomi dunia, kemajuan sosial dan inovasi sejajar dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ketua Pegawai Eksekutif YIM Tany Anthony Kiob (tengah, dalam kemeja merah), dari gambar fail 2017, sering mengambil bahagian dalam program khidmat masyarakat untuk berkongsi maklumat di samping menyebarkan inovasi akar umbi untuk kemudahan dan manfaat komuniti.

Pada peringkat akar umbi, banyak inovasi yang berkemampuan untuk maju ke tahap yang lebih tinggi. Situasi yang berlaku hari ini amat berbeza. Rata-rata inovator selesa dengan tahap sedia ada dan tidak bersedia untuk keluar ke pasaran yang lebih luas. Selain itu, inovator tidak yakin dengan kemampuan inovasinya. Malah, kekurangan bantuan dari pelbagai aspek membantut perkembangan idea inovasi tersebut. Maka, YIM berperanan mengenal pasti dan menonjolkan inovasi yang dilakukan oleh golongan sasaran iaitu kanak-kanak, wanita, warga kampung, golongan kurang upaya, serta badan-badan bukan kerajaan.

Golongan sasaran yang merangkumi 30 juta rakyat Malaysia ini perlu terus ke hadapan. Besar harapan YIM untuk melihat inovasi yang dilihat kecil malah tidak diiktiraf menjadi sesuatu yang bernilai.

YIM mencapai objektifnya menerusi tiga aspek. Tiga aspek tersebut ialah inovasi komuniti, penerapan teknologi dan inovasi perniagaan, serta pengetahuan dan pengurusan projek. Menerusi aspek-aspek ini, YIM mencungkil inovasi terpilih dari akar umbi untuk dikembangkan. Inovasi komuniti merujuk kepada sifat kolektif dalam menggerakkan idea inovasi tersebut.

Jika inovasi dilakukan di kampung, maka warga kampung boleh turut serta untuk mengambil bahagian dan menikmati manfaat bersama seperti pekerjaan dan sumber pendapatan tambahan. YIM membantu untuk menggerakkan inovasi sebegini kepada skala yang lebih besar. Ini melibatkan penggunaan teknologi yang canggih serta inovasi dalam perniagaan. Menembusi pasaran digital yang luas, inovator perlu menjadi usahawan yang bijak dan kompetitif. Teknologi yang sesuai akan mengurangkan kos dan melicinkan pengeluaran hasil dan produk. Bantuan lain yang disediakan oleh YIM ialah khidmat perundingan dan nasihat berkaitan pengetahuan dan pengurusan projek inovasi. Setelah satu-satu produk inovasi layak untuk dipasarkan, pengetahuan sebegini penting agar ianya sentiasa relevan dalam pasaran tempatan mahupun pasaran luar.

Sehingga hari ini, telah ramai inovator yang berjaya dibantu oleh YIM. Antaranya ialah Encik Mohamad Jais Razali dari Temerloh yang mencipta gasing plastik. Gasing merupakan permainan tradisional yang diperbuat daripada kayu. Sebagai seorang pemain gasing, Encik Mohamad Jais sering mendapati gasing kayu kerap kali rosak selepas dimainkan pada tempoh tertentu. Maka, tercetus idea untuk menggunakan bahan asas yang lain seperti habuk kayu, sekam padi bahkan aluminium. Namun kesemuanya tidak mampu menandingi ketahanan gasing plastik. Menurutnya, gasing plastik lebih mudah untuk dihasilkan dan memberi peluang untuk lebih ramai rakyat menikmati permainan tradisional ini.

Selain itu, YIM turut bertemu dengan Encik Suman Ahmad dari Melaka. Beliau merupakan pencipta kompang x-ray pertama di dunia! Apa yang dilakukan oleh beliau ialah menggunakan salinan x-ray yang sudah tidak digunakan untuk membaik pulih kompang yang rosak. Kompang yang terhasil bukan sahaja menarik, malah berfungsi lebih baik. Amalan kitar semula juga dipraktikkan. Inovasi Encik Suman ini berjaya menembusi pasaran luar mendapat tempahan daripada Australia.

Banyak lagi kisah-kisah inspirasi inovator yang dibantu oleh YIM. Kisah mereka ini wajar diteladani oleh inovator yang berada di luar sana. YIM sentiasa berusaha terus menjadi pemangkin kepada pencipta idea baru.