Memperkasa Golongan Wanita Menerusi Inovasi

Dalam pembentangan Bajet 2018, salah satu perkara yang menarik perhatian ramai ialah pengumuman tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepentingan wanita dalam pembangunan keluarga dan negara. Usaha ini jelas beliau adalah untuk mengiktiraf golongan ini dan meletakkan mereka di tempat yang lebih tinggi. Pengumuman ini sudah tentu disambut baik oleh semua, khususnya wanita.

Logo rasmi Tahun Memperkasa Wanita 2018

Peruntukan seperti cuti bersalin yang lebih lama, waktu bekerja yang lebih singkat, dan pengeculian cukai pada tempoh tertentu menunjukkan kerajaan serius dalam melaksanakannya. Namun semua peruntukan ini tidak mencukupi untuk betul-betul memperkasa golongan wanita. Apa yang lebih penting ialah peluang yang saksama untuk terlibat dalam pelbagai sektor.

 

Usaha kerajaan untuk menjayakan Tahun Memperkasa Wanita dijayakan oleh semua kementerian dan agensi menerusi kekuatan masing-masing. Di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terdapat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang memberi keutamaan kepada golongan wanita. Untuk membangun, memupuk, dan menggilap bakat, kementerian akan menggalak dan meningkatkan penyertaan wanita secara berkesan dan saksama dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) di semua peringkat dan dalam semua sektor.

 

“Sudah tiba masanya untuk tingkatkan usaha kita memperkasa wanita. Golongan wanita perlu selari dengan golongan lelaki dalam pembangunan negara bangsa,” jelas YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri MOSTI. “Saya sudah mulakan usaha untuk memfokuskan inovator, pakar teknologi, dan usahawan daripada golongan wanita. MOSTI telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MyIPO untuk mengenalpasti harta intelek yang mempunyai potensi untuk dikomersial dan dipatenkan,” tambahnya lagi. Langkah ini penting untuk mempersiapkan golongan wanita dengan gelombang kemajuan yang semakin pesat, lebih-lebih lagi setelah bermulanya Revolusi Industri keempat.

 

YB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

Bercerita perihal inovasi, MOSTI sebenarnya sudah lama bergerak mengangkat nilai inovasi menerusi agensinya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). YIM ditubuhkan untuk menyemai dan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, salah satu golongan tumpuan dalam usaha ini ialah wanita. Objektif ini dipenuhi melalui program-program yang disusun sepanjang tahun. Antara program yang mendapat tumpuan ialah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif. Program tahunan ini mencari inovasi yang memberi manfaat kepada golongan inklusif, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40). Selain itu, terdapat juga program yang dikenali sebagai Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRIs) yang mencari inovasi akar umbi untuk dikembangkan potensinya.

 

Pencapaian inovator yang terbaik dapat dilihat dalam diri seorang wanita yang bersemangat tinggi, Puan Asmawati Anifiah. Beliau merupakan salah seorang pemenang pertandingan MaGRIs 2016 lalu. Pencapaian dan dedikasi sepanjang bekerjasama dengan YIM membuahkan hasil apabila dilantik sebagai Duta Inovasi bagi mempromosi nilai inovasi menerusi program dan aktiviti yang rancak disusun. Beliau yang merupakan inovator produk kertas berasaskan batang pisang berjaya membuktikan kepada masyarakat di luar bandar, khususnya wanita bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya dengan keinginan dan kesungguhan. “Apa yang penting ialah kita berani mencuba. Dalam masa yang sama, ilmu perlu dipertingkat supaya penambahbaikan produk dapat dihasilkan,” ujar Puan Asmawati. Selain giat menjalankan perusahaannya, Banana D’Cratf di Sabah, beliau kini terlibat dalam program kesedaran bagi memperlihatkan kepentingan inovasi dalam meningkatkan ekonomi setempat.

YB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Puan Asmawati ketika majlis pelantikan sebagai Duta Inovasi Akar Umbi.

 

Pencapaian yang hebat turut ditunjukkan oleh Puan Teng Yu Mein. Beliau juga merupakan salah seorang inovator bantuan YIM yang menghasilkan produk penutup khas untuk membolehkan penapis air digunakan di mana-mana tempat, walaupun tanpa bekalan air paip. Produk yang dikenali sebagai EZ Efinity Water Filter Cap telah pun disumbangkan kepada komuniti orang Asli di Sabah. Malah, produk inovasi ini turut mendapat permintaan daripada pertubuhan kebajikan di luar negara untuk dimanfaatkan oleh golongan luar bandar yang memerlukan air bersih.

Di samping itu, inovator dari kalangan pemudi juga tidak ketinggalan untuk mempamerkan kemampuan mereka. Ketika menyertai pertandingan inovasi MaGRIs, kedua-dua Cik Noor Shakinah Rudzlan Apandi dan Cik Siti Hajar Adni Mustafa masih lagi bergelar mahasiswa. Namun ianya tidak menghalang mereka untuk berani mempertaruhkan inovasi yang dikenali sebagai Nakula. Nakula merupakan alat khas beroda untuk mengutip biji sawit yang mampu meningkatkan produktiviti di ladang. Inovasi ini bakal memberi manfaat kepada peladang kecil dan sederhana.

 

Kehebatan golongan wanita dari kalangan ibu tunggal turut diserlahkan oleh Puan Salena Ahmad. Beliau merupakan pengasas syarikat perusahaan sosial yang dinamakan sebagai SURI. Objektif utama SURI iaitu memaksimumkan keuntungan melalui perniagaan berasaskan jahitan yang didokong oleh golongan ibu tunggal. Ini selari dengan hasrat menambah pendapatan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal. Menerusi program HIP 6, YIM membantu dari aspek kewangan dan meningkatkan kemudahan sedia ada supaya perusahaan ini dapat dikembangkan di beberapa buah tempat lain.

Peserta SURI menghasilkan produk yang ditempah.

Tidak kira tua atau muda, tinggal di bandar besar atau di kampung pedalaman, golongan wanita perlu mempunyai keyakinan dan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan. Kisah-kisah inovator di atas wajar menjadi inspirasi buat golongan wanita bahawa mereka juga boleh berjaya dan tidak ketinggalan dalam arus kemajuan semasa. Dari perspektif inovasi pula, kejayaan inovator menunjukkan kemahiran dan kreativiti perlu digunakan untuk menyelesaikan masalah harian. Dengan bantuan daripada pihak seperti YIM, potensi inovasi dapat dikembangkan dengan sebaiknya.

2018-06-12T14:42:27+00:00May 4th, 2018|Uncategorized|0 Comments

Leave A Comment