Mesin Pengurai Padi Bantu Tingkat Produktiviti Peladang Kecil dan Sederhana

Terkenal sebagai salah satu makanan ruji di Asia, nasi sentiasa menjadi keperluan penduduk di rantau ini, termasuklah Malaysia. Berasal daripada padi yang diproses menjadi beras, tanaman bijirin ini banyak ditanam di kawasan berpaya yang datar dan mempunyai musim lembap yang ketara. Di sebalik pek-pek beras yang banyak terjual di pasaran, tersirat keringat para petani dan peladang padi yang membanting tulang mengeluarkan hasil beras yang terbaik. Di Keningau, Sabah, Encik Siteo@Jokteo Akang sudah lama tinggal bersama-sama dengan komuniti petani dan pengusaha padi. Beliau sudah faham susah payah yang terpaksa ditempuhi oleh mereka untuk menghasilkan padi terbaik.

Beliau mempunyai bengkel membaiki kenderaan yang menjadi sumber pendapatan utamanya. Dalam masa yang sama, beliau turut mempunyai ladang padi di kampungnya. Bagi Siteo, cabaran terbesar ialah ketika proses melerai padi. “Mengikut kaedah tradisional, proses melerai padi dilakukan dengan memukul padi supaya bijirin padi dapat diasingkan pada tangkainya,” jelas Siteo. “Cara ini sesuai untuk digunakan oleh petani yang mempunyai sawah kecil. Namun cara ini tidak lagi praktikal sejak adanya mesin berteknologi moden,” tambah beliau. Bagi pengusaha ladang padi yang berpuluh-puluh ekar, penggunaan mesin ternyata perlu bagi mempercepatkan proses melerai.

Penggunaan mesin pelerai pada kini sudah tidak asing lagi. Penggunaannya lebih menjimatkan masa dan mengurangkan tenaga kerja. Namun ianya memerlukan kos yang tidak sedikit. “Mesin ini biasanya bersaiz besar dan harganya mahal. Selalunya, pemiliknya memiliki sawah yang besar untuk meningkatkan produktiviti,” jelas Siteo. Bagi petani kecil dan sederhana, pilihan yang mereka ada ialah dengan mendapatkan perkhidmatan melerai padi daripada pemilik mesin tersebut. “Mereka (petani kecil dan sederhana) tidak mampu untuk memiliki mesin tersebut. Jadi, ada di antara mereka yang menyewa,” kata Siteo lagi.

Berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh komuniti petani di sini, Siteo cuba menghasilkan mesin melerai padi yang lebih mampu milik. Tujuannya ialah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban kepada golongan petani yang memerlukan. Sebelum mengusahakan tanaman padi, beliau pernah bekerja di bengkel membaiki kereta dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan selama lapan tahun. “Saya cuba gunakan pengalaman sebelum untuk menghasilkan mesin pelerai padi terbaik dengan kos minimum. Saya guna bahan terpakai seperti besi dan barang gantian kenderaan,” kata Siteo. Namun, percubaannya untuk mencipta mesin ternyata tidak semudah yang disangka kerana beliau tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam selok-belok mekanisme mesin. Dengan kos, bahan dan sumber yang terhad, lima versi pertama berjaya dihasilkan. Namun ianya tidak begitu memuaskan dan banyak penambahbaikan dilakukannya berdasarkan pengalaman dan maklum balas. Kesungguhan beliau wajar dipuji kerana tetap berusaha untuk melangkah ke hadapan walaupun berdepan cabaran diluar bidangnya.

 

Setelah beberapa kali melakukan perubahan, mesin pengurai padi yang berfungsi dengan baik berjaya dihasilkan. Antara kelebihan mesin ini ialah ianya bersaiz lebih kecil dan sesuai digunakan di kawasan padi bukit. “Mesin lain yang bersaiz besar tidak boleh memasuki laluan sempit. Ini memberi kelebihan kepada mesin saya yang lebih kecil,” jelas Siteo. Pada peringkat awal, mesin Siteo menarik perhatian rakan petani di sekitar Keningau. Melihat kepada fungsi mesin ini berguna kepada mereka, tempahan mula dibuat. “Permintaan yang menggalakkan menyebabkan saya mendapatkan bantuan rakan-rakan untuk membina mesin ini,” jelas beliau. Kini, sudah lebih 100 unit mesin tersebut terjual di sekitar Keningau, Tambunan, Tenom dan Ranau. Permintaan yang tinggi ini disebabkan harganya yang lebih murah di samping ciri-ciri yang ada pada mesin tersebut.

Inovasi ciptaan Siteo ini boleh dikendalikan oleh seorang pekerja sahaja. Ianya mempunyai roda yang memberi kelebihan untuk digerakkan ke mana-mana tempat yang dikehendaki. Mesin ini mampu melerai padi sepuluh kali lebih cepat berbanding kaedah tradisional. “Salah satu kelemahan kaedah tradisional ialah padi perlu dikeringkan sebelum proses mengetam dapat dilakukan. Mesin ini pula dapat memproses padi dengan baik walaupun dalam keadaan lembap,” jelas Siteo. Di samping itu, ciri menarik pada mesin inovasi Siteo ialah kemampuannya mengekalkan jerami padi daripada tercincang. Malah, jerami, sekam, dan biji padi dapat diasingkan secara automatik menggunakan peniup yang terpasang pada mesin tersebut. Hasilnya, mesin ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja dalam proses melerai yang kebiasaannya mengambil masa yang lama.

 

Siteo menunjukkan kelebihan mesin pelerai padi kepada pemberita.

Inovasi yang dilakukakan oleh Siteo berjaya menarik perhatian Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Apabila diamanahkan untuk melaksanakan Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6), YIM mula bergerak mencari inovasi inklusif di seluruh Malaysia. Antara produk inovasi yang terawal ditemui ialah mesin pelarai padi ciptaan Siteo. Koordinator projek inovasi ini, Cik Nastassja Nicolette Mojitoh berkata, program HIP 6 mencari produk inovasi inklusif yang mampu merapatkan jurang akses kepada produktiviti seperti mesin pelerai padi Siteo. “Mesin ini pada awalnya dihasilkan dengan menggunakan bahan terpakai yang mengurangkan kos seterusnya menjadikannya mampu milik. Walaupun jauh lebih murah daripada mesin-mesin lain di pasaran, mesin ciptaan Siteo mempunyai kualiti yang baik yang mampu milik,” jelas Nastassja lagi. Bagi Siteo, beliau sedar bahawa komuniti peladang dan petani yang mengusahakan padi memerlukan mesin yang murah untuk melakukan kerja-kerja sukar dan lama seperti melerai padi. Dengan ada mesin sebegini, ia mampu memberi manfaat dengan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan tenaga kerja.

 

Tany (tengah) dan Siteo (kiri) bersama-sama penerima sumbangan mesin pelerai padi di majlis anjuran YIM.

Dengan kerjasama YIM, Siteo dibantu mendapatkan lesen hak cipta bagi membolehkannya memasarkan mesin pelerai padi ini ke pasaran yang lebih luas. “Di samping itu, YIM menyediakan bantuan pakar untuk menambahbaik mesin yang telah dicipta oleh beliau. Dengan bantuan ini, kos menghasilkan mesin akan lebih jimat selain meningkatkan kebolehan mesin tersebut,” ujar Nastassja. Program yang dilaksanakan oleh YIM bukan sahaja mengiktiraf inovasi di peringkat akar umbi, malah turut membantu inovator memasarkan produk mereka kepada golongan sasaran menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan. Menggunakan rangkaian yang ada, YIM menyediakan tempat untuk Siteo memasarkan mesin beliau khususnya di seluruh Malaysia. “Tambahan pula, Siteo turut dibekalkan dengan ilmu berkenaan dengan pengurusan perniagaan menerusi bengkel dan kelas latihan secara berkala. Hal ini bagi memastikan beliau dan inovator lain yang dibantu YIM mampu terus kekal dan bersaing dalam pasaran,” tambah Nastassja lagi. Tambahan lagi, YIM membantu Siteo mendapatkan paten hak cipta bagi mesin pengurainya. Langkah ini bagi memastikan keunikan mesinnya terjaga dan dilindungi undang-undang.

 

Inovator seperti Siteo Akang sentiasa wujud di tahap akar umbi di seluruh negara. Dengan usaha yang dijalankan oleh YIM, inovasi mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi untuk dikongsi bersama oleh masyarakat, khususnya rakyat Malaysia.

 

2018-06-25T09:38:53+00:00April 17th, 2018|Innovation Trending, Malaysia Innovation|0 Comments

Leave A Comment