Mi Sayur Jadi Pilihan Untuk Pemakanan Sihat

Produk berasaskan makanan sentiasa mendapat tempat dalam pasaran. Rasa yang sedap kebiasaannya sudah cukup untuk menarik pengguna. Antara makanan kegemaran ramai ialah mi kuning. Di rantau Asia termasuklah Malaysia, mi kuning banyak dijual di merata tempat. Di kedai makan pula, menu menggunakan mi kuning adalah wajib. Fakta ini sudah cukup menjelaskan kepada kita bahawa mi kuning sudah sebati dalam pemakanan harian. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan mi berada di tempat kedua selepas makanan ruji utama iaitu nasi.

 

Dr. Khadijah (kanan) menunjukkan produk mi sayur (Gambar Harian Metro).

Mi boleh hadir dalam pelbagai bentuk antaranya ialah mi segera, mi kuning, mihun dan sebagainya. Semuanya menjadi pilihan sebagai makanan yang mudah untuk disediakan. Namun, untuk menikmati mi secara kerap memerlukan penelitian dari sisi kesihatan. Selari dengan kesedaran tentang kesihatan khususnya maklumat dan isi kandungan dalam makanan, ramai pengguna mula memberi perhatian terhadap kadar nutrisi dalam makanan yang di ambil. Antara yang prihatin ialah Dr. Khadijah Zakaria yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kanak-kanak dan ibu mengandung.

 

Beliau berpengalaman merawat kanak-kanak di klinik yang sering menghadapi masalah seperti demam, selesema dan sembelit yang berulang, yang berpunca dari haemoglobin (zat besi) yang rendah. “Keadaan ini mempengaruh perkembangan otak 400% sebelum mencapai umur 2 tahun. Dalam merawat pesakit wanita seperti ovarian cyst, kitaran haid tidak teratur, kencing manis, darah tinggi dan masalah murung, saya memerhati dan mengkaji corak makanan dan cara hidup pesakit,” jelas Dr. Khadijah. Ternyata aspek pemakanan memberi kesan panjang terhadap kesihatan pengguna. “Menerusi pengalaman ini, saya cuba dan berjaya menghasilkan mi sayur menggunakan bahan-bahan asli dan tanpa campuran bahan kimia,” tambah beliau. Beliau mencipta resepi sihat ini sebagai alternatif yang lebih baik dengan membuang bahan kimia, aditif dengan menggantikan bahan semula jadi.

 

Di pasaran, mi kuning antara yang banyak dijual untuk dijadikan pelbagai masakan seperti mi goreng, mi kari, mi sup dan sebagainya. Ini menjadikan mi kuning sebagai produk yang mendapat permintaan tinggi sepanjang masa. Persoalan yang timbul, adakah mi kuning yang dijual selamat untuk digunakan?  “Mi kuning kebiasaannya mengandungi bahan pengawet untuk mengekalkan kesegaran dan kelembapannya. Antara bahan yang biasa digunakan ialah bahan alkali seperti air abu natrium hidroksida dan natrium siliket,” jelas Dr. Khadijah. Namun, bahan-bahan ini telah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ia merupakan bahan asing di dalam badan manusia. Di samping itu, mi kuning mengekalkan kekuningannya menggunakan pewarna yang dikenali sebagai tatrazin yang juga bertindak sebagai anti-nutrien. Pewarna ini juga menjadi penyebab kepada alahan dan hiperaktif. Malah ia juga meningkatkan jumlah zink keluar daripada badan pengguna. “Tidak cukup dengan itu, bahan pengawet seperti sodium benzoid dan asid borid turut dikaitkan dengan masalah pernafasan, sistem saraf, jantung dan penyebab kanser,” kata Dr. Khadijah lagi.

 

Antara variasi Mi Sayur keluaran YUMNY.

Dr. Khadijah menghasilkan mi sayur menggunakan sayur-sayuran sebagai bahan utama. Antaranya ialah sawi, bayam, labu dan lobak merah. “Setiap daripadanya menghasilkan warna semulajadi yang menarik seperti hijau, oren, dan kuning,” jelas Dr. Khadijah yang menyifatkan kelainan ini memberi kelainan kepada pengguna. Apa yang ditekankan oleh beliau bukan sahaja daripada aspek luaran, malah isi kandungan mi itu sendiri. Mi sayur ini tidak menggunakan protein tinggi, tanpa pewarna dan perasa tiruan seperti monosodium glutamate (MSG) dan juga asid borik. Semua ini digantikan dengan nutrisi yang terdapat dalam sayuran yang digunakan. “Warna hijau daripada sawi dan bayam kaya dengan klorofil manakala warna oren daripada lobak mengandungi beta kerotena dan warna kuning daripada labu mengandungi anti oksidan dan selerium. Malah, bahan utama yang berkarbohidrat mengandungi serat dan protein yang membantu mengimbangkan gula dalam darah,” ujar Dr. Khadijah.

 

Penghasilan mi sayur bukanlah sesuatu yang mudah. Dr. Khadijah mengambil masa dua tahun untuk mencipta mi sayur yang kenyal dan enak. Resipi yang terbaik kini dijual kepada umum dan hadir dalam empat perisa berbeza iaitu Mi Bayam, Mi Sawi, Mi Lobak Merah, dan Mi Labu Manis. Untuk mengembangkan lagi produk inovasi ini, beliau telah menyertai pertandingan Cabaran Inovasi Johor 2016 yang telah dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Beliau telah berjaya memikat hati juri dan melayakkannya menerima Geran Pembangunan Produk. Dengan bantuan YIM, pemasaran produk dapat dilakukan dengan baik dan tersusun. YIM memberikan khidmat nasihat dan rundingan berkenaan hal-hal pemasaran supaya produk dapat kekal dan bersaing dengan produk mi kuning sedia ada di pasaran. Menurut koordinator projek ini, Ruzaimi Haron, produk yang baik tetap memerlukan pemasaran yang baik. “Untuk itu, YIM membantu memberikan nafas baru kepada produknya dari aspek pembungkusan dan promosi. Ini bagi menarik perhatian pengguna,” jelas Ruzaimi.

 

Variasi produk berasaskan sayur keluaran YUMNY.

“Bantuan ini juga meliputi pembangunan beberapa variasi produk yang lain bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna. Kini, Dr. Khadijah menerusi jenama Yumny turut memasarkan mi sayur kering dan pasta sayur yang dijenamakan sebagai Macroona Sayur,” ujar Ruzaimi. YIM yang berpengalaman dalam penjenamaan produk turut menyusun langkah supaya produk yang dipasarkan mempunyai daya tarikan dan mudah untuk diperolehi. Maklumat lanjut berkenaan produk mi sayur ini boleh diperolehi di laman Facebook Yumny HQ. Tidak cukup dengan itu, YIM turut melibatkan inovator dalam pelbagai jenis program, pameran dan aktiviti untuk tujuan promosi produk. “Langkah ini membuka ruang untuk memperkenalkan produk di jenama YUMNY. Malah pengedar juga dapat menambah pendapatan,” jelas Dr. Khadijah.

2018-06-12T14:42:46+00:00May 3rd, 2018|Malaysia Innovation, News & Articles, YIM|0 Comments

Leave A Comment