Kekurangan produk di pasaran dan permintaan yang tinggi daripada pihak agensi, hospital dan pusat-pusat perubatan telah mencetuskan idea kepada Dr. Tan Tse Guan, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk merekacipta perisai muka atau Face Shield Visor (FSV) bersama pasukannya.

Pembangunan dan penciptaan FSV ini telah dijalankan di makmal FTKW dan perpustakaan UMK melalui dua (2) teknik iaitu Mesin Pencetak 3D dan Pemotong Laser 3D (CNC) yang mana boleh menghasilkan sebanyak 500 unit sehari.

FSV ini boleh digunakan berulang kali dengan hanya mensanitasikan FSV menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer).

Di samping itu, UMK turut membangunkan Personal Protective Equipment (PPE) Suit. Diketuai oleh Dr. Hanisa binti Hassan, Dekan FTKW bersama-sama kumpulannya telah merekabentuk PPE Suit yang merangkumi tudung, coverall dan sarung kaki. Produk yang dibangunkan ini menggunakan fabrik khas yang dibekalkan oleh pihak Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM).

Bagi meningkatkan kuantiti penghasilan PPE Suit ini berikutan permintaan yang banyak, pihak UMK telah bekerjasama dengan Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Machang dan berjaya menghasilkan 100 unit sehari.

Selain itu, UMK turut menghasilkan Intubation Box yang diketuai oleh Encik Muhammad Najibul Muthiie bin Che Ya’acob, Pereka UMK dan Dr. Tan Tse Guan, Pensyarah Kanan FTKW. Rekabentuk Intubation Box ini adalah berdasarkan kepada permintaan dan spesifikasi yang diberikan oleh pakar perubatan di hospital.

Pembangunan produk ini bertujuan menghalang petugas-petugas barisan hadapan terkena percikan cecair pesakit semasa mereka mengendalikan kes-kes Covid-19 di hospital. Sebanyak 10 unit Intubation Box dapat dihasilkan dalam masa sehari.

UMK Care Covid-19 Kit yang merangkumi FSV, PPE Suit dan Intubation Box yang dihasilkan telah diagihkan secara percuma kepada hospital, pusat-pusat kesihatan dan agensi penguatkuasa di Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pihak UMK menerima geran bagi projek inovasi ini di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di bawah kelolaan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *