Kuala Lumpur – Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) hari ini telah menerima kunjungan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diketuai oleh Menteri MOSTI, YB Khairy Jamaluddin sambil diiringi Timbalan Menteri, YB Haji Ahmad Amzad bin Hashim, Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), YBrs. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan serta pegawai-pegawai kanan MOSTI.

Kunjungan julung-julung kali ke YIM sejak dilantik sebagai Menteri, bertujuan untuk mengenali lebih dekat fungsi YIM dalam membentuk dan menggalakkan nilai kreativiti terhadap bidang sains dan teknologi melalui badan akademik, industri dan masyarakat terutama di kalangan akar umbi dan golongan B40.

Sebaik tiba di Pejabat YIM, YB Khairy dan delegasi telah disambut oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIM, Pengurusan Tertinggi YIM dan kakitangan YIM dengan mengamalkan garis panduan pencegahan Covid-19, seterusnya dibawa ke sesi taklimat ringkas mengenai projek-projek inovasi YIM yang disampaikan oleh YBrs. Puan Sharmila binti Mohamed Salleh, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIM.

Ketika ini beberapa program sedang dilaksanakan oleh YIM di antaranya Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6) – Inovasi Inklusif yang bertujuan memupuk, mengenalpasti, menerima pakai, menambah nilai dan membangunkan produk inovasi inklusif yang mampu menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada komuniti setempat dari sudut kepenggunaan, kesihatan, produktiviti, pendidikan, makanan dan teknologi terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Selain itu, turut ditumpukan adalah Program Mengarusperdanakan Inovasi Akar Umbi (MaGRIs) yang bertujuan mempertingkatkan usaha pembangunan dan pengkomersialan inovasi akar umbi merangkumi penyediaan peluang pembinaan kapasiti kepada inovator akar umbi tempatan. Program ini menambah nilai produk inovasi daripada pembangunan prototaip kepada pra-pengkomersialan.

YIM turut melaksanakan program Malaysia Social Innovation (MySI) yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat keutamaan kepada golongan B40 melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi R&D tempatan berinovatif yang telah dibangunkan dan sedia dilaksanakan secara mampan.

Manakala bagi program Pembangunan Roadmap Inovasi Sosial, ia bertujuan memacu hala tuju dan perancangan strategik untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi R&D tempatan berinovatif yang dapat memberi perubahan (systemic change) kepada masyarakat.

Dan yang terakhir, pelaksanaan Grassroots Enrichment Programme (GEP) bertujuan mengukuhkan dan meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan inovator akar umbi YIM.

Bagi program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2015 sehingga 2020 seperti program HIP6, MaGRIs dan juga MySI, lebih 3,000 inovasi ditemui, 150 inovasi dikomersialkan, 67 harta intelek difailkan, serta melibatkan 89.15% inovator bumiputera. Keseluruhan program ini juga telah memberi impak secara langsung kepada lebih 35,000 orang dan impak secara tidak langsung kepada lebih 200,000 orang.

Hala tuju YIM di masa hadapan dan seterusnya adalah mempromosikan inovasi akar umbi melalui kolaborasi bersama syarikat media, mengukuhkan ekosistem inovasi sosial, menggalakkan inovator dalam penggunaan teknologi automasi, menyokong pembangunan produk inovasi dalam menangani krisis, mengukuhkan kemahiran keusahawanan inovator serta memperluaskan skala inovasi dengan kerjasama bersama kerajaan, agensi dan syarikat swasta.

Mengakhiri lawatan, YB Menteri dan Timbalan Menteri dibawa meninjau Galeri Produk Inovasi YIM yang mempamerkan sebahagian produk-produk inovasi melalui program YIM sejak tahun 2010 serta sekitar kawasan pejabat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *