Kuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih kepada masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis penyerahan tersebut telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohammad Al-Bakri menggalakkan agar masjid-masjid mempraktikkan penggunaan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih dalam melaksanakan ibadah korban susulan dari pertemuan yang lalu bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaluddin menyaksikan demonstrasi penyembelihan lembu menggunakan produk inovasi tersebut.
Penyerahan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih, hasil ciptaan inovator YIM, En. Hamzan bin Hashim yang telah ditambahbaik dengan menggunakan sistem motor gearing 1HP adalah sebagai inisiatif melaksanakan ibadah korban bagi membolehkan proses penyembelihan dilakukan dengan cepat dengan hanya memakan masa selama 20 sehingga 30 minit, manakala pengendalian lembu lebih berhemah, efisyen, bersih dan patuh syariah. Penggunaan alat inovasi ini juga dapat meminimumkan tenaga kerja kepada tiga (3) orang sahaja seterusnya membolehkan para petugas mematuhi SOP yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, seterusnya membantu mencegah dan mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.
Acara penyerahan mock-up Sangkar Penyembelihan Mudah Alih telah diserahkan oleh YB Menteri MOSTI kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai simbolik penyerahan untuk dimanfaatkan oleh pegawai, kakitangan masjid dan surau serta ahli kariah setempat bagi pelaksanaan ibadah korban norma baharu. Di antara masjid yang menerima Sangkar Penyembelihan ini adalah Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Tuanku Abdul Halim; Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju; Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru; Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati Setapak; Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara; Surau Jumaat Al-Furqan, Presint 11 Putrajaya; Surau Jumaat Ahmad Dawjee Dadabhoy, Jalan Perak Kuala Lumpur; dan Masjid Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara Kepong.
Sesi latihan pengendalian juga diadakan dengan memberikan taklimat dan praktikal tatacara penyembelihan haiwan korban menggunakan Sangkar Penyembelihan kepada wakil-wakil dari Masjid Felda Sri Jaya, Tangkak, Johor; Masjid Jamek An-Nur Daerah Rembau, Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Kubang Kekura, Kuala Terengganu, Terengganu; Pusat Tarbiyah DUN Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, Terengganu; dan Surau Al Barakah (Surau Jumaat), Pasir Gudang, Johor.