Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah bekerjasama bersama Clarus Consulting Sdn. Bhd. untuk memperkenalkan Pensijilan Inovasi Akar Umbi Tahap 1 yang pertama kali menggunakan Bahasa Malaysia khas untuk inovator akar umbi melalui latihan keusahawanan yang disediakan oleh Grassroots Enrichment Programme (GEP).
Grassroots Enrichment Programme (GEP) merupakan sebuah program di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertindak sebagai agensi pelaksana.
Program ini dilaksanakan bagi memperkukuhkan keupayaan, mempertingkatkan kemahiran dan menyuntik nilai tambah keusahawanan terhadap inovator akar umbi agar mampu berdaya saing di pasaran arus perdana.
Melalui program ini, inovator akar umbi akan melalui tiga (3) fasa iaitu pembangunan produk dan proses pembuatan, peningkatan set keupayaan inovator, serta perkongsian inovasi bersama komuniti.
Pensijilan Inovasi Akar Umbi Tahap 1 ini merupakan salah satu pensijilan dari Global Innovation Management Institute (GIMI), USA. Pensijilan ini akan membantu peserta memperkembangkan inovasi dan pertumbuhan perniagaan.
Seramai 10 orang inovator akar umbi di bawah Yayasan Inovasi Malaysia akan diiktiraf menerusi pensijilan ini.
