YIM kongsi perkembangan inovasi dan dana di bawah program MyIS kepada peserta terlibat
KUANTAN, 14 April – Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menganjurkan Seminar Pahang Inovatif secara maya dalam usaha untuk membudayakan inovasi dan kreativiti ke dalam sistem pentadbiran kerajaan, awam, swasta mahupun komuniti setempat yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Pn. Sharmila Mohamed Salleh di dalam ucapan pembukaan beliau berkata, YIM telah menggerakkan pelbagai inisiatif yang berimpak tinggi dengan melaksanakan penjejakan inovasi akar umbi yang mempunyai nilai pasaran selaras dengan dasar kerajaan dalam meningkatkan pendapatan berterusan masyarakat terutamanya di luar bandar melalui pendekatan Inovasi Sosial.

“YIM turut bertanggungjawab dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk membantu inovator yang mempunyai prototaip sehingga ke pra pengkormersialan”, jelas beliau.
Pn. Sharmila turut dijemput untuk memberikan taklimat mengenai Program Malaysia Social Innovation (MySI), yang mana YIM menawarkan dana berjumlah RM300,000.00 bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat terutama kepada golongan B40 dan kumpulan yang terkesan akibat Covid-19. Dana yang ditawarkan akan disalurkan kepada para inovator yang berjaya melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan berinovatif yang telah dibangunkan dan sedia dilaksanakan secara mampan.
Sejak Januari 2015 hingga 2020, sebanyak 234 projek telah menerima dana MySI dan seramai 100 ribu orang telah menerima manfaat melalui replikasi projek berasaskan teknologi R&D yang berinovatif. Sepanjang tahun 2021, YIM telah mengenalpasti 20 projek inovasi sosial yang menepati bidang keutamaan Rangka Kerja 10 – 10 STIE Malaysia.
MOSTI telah memperkenalkan inisiatif inovasi sosial melalui program MOSTI Social Innovation (MSI) pada tahun 2015 dan dijenamakan semula kepada Malaysia Social Innovation (MySI) pada tahun 2019.

Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi Antara Tema Perkongsian Ilmu
YIM turut berpeluang berkongsi maklumat dan pengetahuan menerusi satu sesi penerangan berhubung Kenderaan Elektrik, Sekuriti Kesihatan dan Inovasi Sosial yang mana ia adalah antara Teras MOSTI untuk tahun ini.
Pn. Nur Fadzlina Mahamad Razi, Pengurus Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia, turut berpeluang berkongsi idea dan ilmu mengenai inisiatif Inovasi Sosial yang kini telah dijenamakan semula sebagai Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) dengan tema Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi.
YIM yang dilantik sebagai peneraju inisiatif MyIS, melihat kemajuan negara bukan sahaja bergantung kepada kehebatan ekonomi semata-mata, ia juga melibatkan kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar agar Malaysia mencapai pembangunan negara secara mampan.
Dalam hal ini, inovasi sosial boleh ditakrifkan sebagai integrasi elemen sains dan teknologi di dalam penyelesaian yang inovatif bagi mengatasi masalah dan cabaran dalam mewujudkan kekayaan ekonomi, memperkasa nilai sosial untuk kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.