MOSTI LANCAR e-BECA BANTU RANCAK INDUSTRI PENGAYUH BECA DAN PELANCONGAN DI KUALA TERENGGANU
Penggunaan beca elektrik mampu tingkat aktiviti pelancongan menggunakan inovasi teknologi mesra alam
KUALA TERENGGANU, 02 JUN 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan elekrik beca (e-BECA) yang menggunakan teknologi boleh dicas menggunakan tenaga solar.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh YB Datuk Haji Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI berkata produk inovasi e-BECA yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri mesra alam iaitu menggunakan bateri yang boleh dicas menggunakan kuasa solar. “Ia juga dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio yang menarik yang mampu merancakkan industri pengayuh beca di Kuala Terengganu”, dalam ucapan beliau.
“Malah, kelestarian projek ini turut melibatkan tiga elemen utama ekonomi, sosial, dan persekitaran. Antaranya, pendapatan pengayuh beca dapat ditambah baik dengan peningkatan jumlah pelancong dan bilangan kayuhan (rides), selain peningkatan pendapatan komuniti sekeliling termasuk peniaga produk pelancongan di kalangan warga tempatan, seterusnya mewujudkan ekonomi sosial yang lebih baik”, ujar beliau.
Idea e-Beca Terengganu ini tercetus menerusi inisiatif Kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif, yang mana SME Corp. bertindak sebagai pembiaya program utama dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertindak sebagai agensi pelaksana dengan menganjurkan Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa Fasa PKP berkuatkuasa.
Pertandingan inovasi ini merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan beca di negeri Terengganu dengan mengenal pasti inovasi prototaip beca yang berteknologi tinggi, mesra pengguna dan
bercirikan norma baharu yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha beca sekaligus menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang perkhidmatan beca.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Puan Sharmila Mohamed Salleh berkata, terdapat 5 tema telah dipertandingkan antaranya Beca Mesra Alam (Solar), Beca Inovatif, Beca Produktif, Beca Wawasan 2030/Alaf Baharu dan Beca Norma Baharu.
“Antara syarat yang diutamakan di dalam pertandingan ini, beca yang dipertandingkan hendaklah mempunyai reka bentuk yang moden, ruang penyimpanan sanitasi tangan, berfungsi secara semi-auto, dilengkapi dengan peranti hiburan dan memiliki persaingan yang mampan dan berterusan dengan beca sedia ada”, ujar Sharmila.
Pertandingan Inovasi Beca Terengganu menyaksikan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara dan memenangi Geran HIP 6 yang berjumlah RM90,000 meliputi aspek pembangunan model, pengkajian model, pengujian model dan pembangunan model kebolehpasaran pembangunan industri beca di Kuala Terengganu.
Pembangunan inovasi e-BECA ini merupakan kerjasama di antara YIM, SME Corp. Malaysia dan disokong oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu.
Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
2 JUN 2022