KOTA TINGGI, 28 Ogos – Penurunan drastik minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) telah mendapat perhatian serius daripada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara yang lepas.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, YAB Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi minat pelajar di seluruh negara menceburi bidang STEM, seterusnya mencapai sasaran nisbah 60:40 pelajar aliran sains tulen di peringkat sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.
“Menerusi inisiatif seperti Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia, ia dilihat mampu menyemai pembudayaan dan pengaplikasian sains, teknologi dan inovasi (STI) daripada peringkat pendidikan awal usia persekolahan”, tambah beliau lagi ketika berucap merasmikan Karnival STEM Merdeka bersempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 bertempat di Pusat Informasi & Pelancongan (TIC) Kota Tinggi.
Turut hadir sama dalam program tersebut adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI, Dr. Nagulendran a/l Kangayatkarasu; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Md. Said Md. Daimon dan Pengarah Tourism Johor, Tuan Haji Suhairi Hashim.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi berkata “kaji selidik daripada Jabatan Perangkaan yang mendapati lebih 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran adalah satu petanda yang tidak baik, sekali gus membantutkan usaha Malaysia untuk mencapai taraf negara maju”.
Artikel penuh: https://news.utm.my/ms/2022/08/terus-unggul-perkasa-pendidikan-stem-utm-tekad-bantu-mosti-capai-nisbah-6040/