2016

Paddy Thresher

Inovator

Siteo Akang

Kisah Inovasi

Terkenal sebagai salah satu makanan ruji di Asia, nasi sentiasa menjadi keperluan penduduk di rantau ini, termasuklah Malaysia. Berasal daripada padi yang diproses menjadi beras, tanaman bijirin ini banyak ditanam di kawasan berpaya yang datar dan mempunyai musim lembap yang ketara. Di sebalik pek-pek beras yang banyak terjual di pasaran, tersirat keringat para petani dan peladang padi yang membanting tulang mengeluarkan hasil beras yang terbaik. Di Keningau, Sabah, Encik Siteo Akang sudah lama menceburkan diri dalam tanaman padi yang menjadi sumber pendapatan utama buat dirinya dan juga komuniti setempat.

Pengalamannya mengusahakan tanaman padi telah mencatat pelbagai cabaran dan kesukaran yang perlu dilalui sebelum memperolehi hasil. Bagi Siteo, cabaran terbesar ialah ketika proses melerai padi. Mengikut kaedah tradisional, proses melerai padi dilakukan dengan memukul padi supaya bijirin padi dapat diasingkan pada tangkainya. Kaedah ini tidak praktikal dan sesuai untuk digunakan oleh petani kecil-kecilan. Bagi pengusaha ladang padi yang berpuluh-puluh ekar, penggunaan mesin ternyata perlu bagi mempercepatkan proses melerai. Siteo menyedari masalah ini dan cuba menghasilkan mesin khas untuk melerai padi. Sebelum mengusahakan tanaman padi, beliau pernah bekerja di bengkel membaiki kereta dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan selama lapan tahun. Pengalamannya sebelum ini digunakan untuk menghasilkan mesin pelerai padi terbaik. Menarik tentang mesin yang diciptanya ini, beliau menggunakan bahan terpakai seperti besi dan barang gantian kenderaan. Namun, percubaannya untuk mencipta mesin ternyata tidak semudah yang disangka kerana beliau tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam selok-belok mekanisme mesin. Dengan kos, bahan dan sumber yang terhad, lima unit pertama berjaya dihasilkan namun ianya tidak begitu memuaskan dan banyak penambahbaikan dilakukannya berdasarkan pengalaman dan maklum balas. Kesungguhan beliau wajar dipuji kerana tetap berusaha untuk melangkah ke hadapan walaupun berdepan cabaran diluar bidangnya.

Setelah beberapa kali melakukan perubahan, mesin pengurai padi yang berfungsi dengan berjaya dihasilkan. Pada peringkat awal, mesin Siteo menarik perhatian para peladang padi di sekitar Keningau kerana mampu mempercepatkan proses melerai padi. Melihat kepada fungsi mesin ini berguna kepada mereka, tempahan mula dibuat. Siteo mula menghasilkan mesin tersebut dengan bantuan rakan-rakannya berdasarkan permintaan. Kini, sudah lebih 100 unit mesin tersebut terjual di sekitar Keningau, Tambunan, Tenom dan Ranau. Permintaan yang tinggi ini disebabkan ciri-ciri yang ada pada mesin tersebut. Inovasi ciptaan Siteo ini boleh dikendalikan oleh seorang pekerja sahaja. Ianya mempunyai roda yang memberi kelebihan untuk digerakkan ke mana-mana tempat yang dikehendaki. Mesin ini mampu melerai padi sepuluh kali lebih cepat berbanding kaedah tradisional. Salah satu kelemahan kaedah tradisional ialah padi perlu dikeringkan sebelum proses mengetam dapat dilakukan. Mesin ini pula dapat memproses padi dengan baik walaupun dalam keadaan lembap. Di samping itu, ciri menarik pada mesin inovasi Siteo ialah kemampuannya mengekalkan jerami padi daripada tercincang. Malah, jerami, sekam, dan biji padi dapat diasingkan secara automatik menggunakan peniup yang terpasang pada mesin tersebut. Hasilnya, mesin ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja dalam proses melerai yang kebiasaannya mengambil masa yang lama.

Kini mesin pelerai padi Siteo dijual pada harga sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 termasuk enjin dan ianya bergantung kepada harga besi semasa. Bagi pelanggan yang berminat, tempahan perlu dibuat terlebih dahulu. Kebiasaannya, mesin ini mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan.

Inovasi yang dilakukakan oleh Siteo berjaya menarik perhatian Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). YIM merupakan sebuah entiti atau agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi YIM ditubuhkan pada 2008 untuk memacu inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat Malaysia, yang menyasarkan kanak-kanak, belia, wanita, penduduk luar bandar, Orang Kurang Upaya (OKU) serta organisasi bukan kerajaan. YIM telah memulakan Pergerakan Inovasi Akar Umbi pada tahun 2011 dimana banyak program-program kesedaran, pembangunan kapasiti serta pembangunan inovasi. Antaranya adalah program Jejak Inovasi Sabah yang berjaya menemukan mesin pelerai padi Siteo.

Program ini mencari produk inovasi inklusif yang mampu merapatkan jurang akses kepada produktiviti seperti mesin pelerai padi Siteo. Mesin ini dihasilkan dengan menggunakan bahan terpakai yang mengurangkan kos seterusnya menjadikannya mampu milik. Walaupun jauh lebih murah daripada mesin-mesin lain di pasaran, mesin ciptaan Siteo mempunyai kualiti yang baik yang mampu milik. Siteo sedar bahawa komuniti peladang dan petani yang mengusahakan padi memerlukan mesin yang murah untuk melakukan kerja-kerja sukar seperti melerai padi. Denga nada mesin sebegini, ia mampu memberi manfaat dengan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan tenaga kerja.

Dengan kerjasama YIM, Siteo dibantu mendapatkan lesen hak cipta bagi membolehkannya memasarkan mesin pelerai padi ini ke pasaran yang lebih luas. Di samping itu, YIM menyediakan bantuan pakar untuk menambahbaik mesin yang telah dicipta oleh beliau. Dengan bantuan ini, kos menghasilkan mesin akan lebih jimat selain meningkatkan kebolehan mesin tersebut. Program yang dilaksanakan oleh YIM bukan sahaja mengiktiraf inovasi di peringkat akar umbi, malah turut membantu inovator memasarkan produk mereka kepada golongan sasaran menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan. Menggunakan rangkaian yang ada, YIM menyediakan tempat untuk Siteo memasarkan mesin beliau khususnya di seluruh Malaysia. Tambahan pula, Siteo turut dibekalkan dengan ilmu berkenaan dengan pengurusan perniagaan menerusi bengkel dan kelas latihan secara berkala. Hal ini bagi memastikan beliau dan inovator lain yang dibantu YIM mampu terus kekal dan bersaing dalam pasaran.

Inovator seperti Siteo Akang sentiasa wujud di tahap akar umbi di seluruh negara. Dengan usaha yang dijalankan oleh YIM, inovasi mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi untuk dikongsi bersama oleh masyarakat, khususnya rakyat Malaysia.

Inovasi Berkaitan

Flexsilk

2020

Flexsilk ataupun dikenali sebagai Flexsible Silkscreen Printing Table telah dihasilkan oleh En. Mohd Firdaus Mohd Noh dari Kolej Kemahiran Tinggi...

Pengupas Kelapa 3in1

2019

Alat ini boleh mengupas kulit kelapa tua dengan cara memijak dengan kaki atau menekan dengan tangan dan mampu memotong atau...

Hubungi Kami

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai akitiviti kami atau ingin bertanya mengenai potensi perkongsian atau kolaborasi, lengkapkan borang berikut dan kami akan menghubungi anda!

Ditubuhkan sejak Oktober 2008, visi kami adalah untuk mendorong inovasi dan kreativiti di kalangan rakyat Malaysia, dengan menyasarkan kanak-kanak, belia, wanita, orang kurang upaya, masyarakat luar bandar dan organisasi bukan kerajaan.

Lokasi

Unit L3-E-1A & L3-E-1B,
Level 3, Enterprise 4,
Technology Park Malaysia,
57000 Bukit Jalil,
Kuala Lumpur

Hubungi Kami
Jom setia berhubung dengan kami

Langgan kami dan terima berita dan peristiwa terkini dari YAYASAN INOVASI MALAYSIA

Terima kasih kerana melayari laman web baru kami. Kami ingin maklum balas mengenai pengalaman anda untuk membantu kami menguruskan laman web kami dengan lebih baik untuk anda!