2016

SURI – Single Mum, Recreative and Innovative Association

Inovator

Salena Ahmad

Kisah Inovasi

Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mendapati kaum wanita di Malaysia berjumlah 13.9 juta dengan 235,240 daripadanya ialah ibu tunggal. Menurut Jabatan Pembangunan Wanita, setakat 2016 hanya 83, 775 ibu tunggal yang telah mendaftar dengan mereka. Jumlah ini memberi makna tersirat bahawa ramai lagi golongan ini yang terpinggir dan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Dalam usaha membantu golongan ibu tunggal, banyak agensi dan badan-badan bukan kerajaan yang turut serta dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Usaha ini perlu disentiasa diperkukuhkan kerana masih ramai ibu tunggal khususnya di luar bandar yang berpendapatan rendah.

Di kawasan luar bandar, peluang pekerjaan amat terhad dan tidak mencukupi untuk menyara kehidupan seharian. Sebagai seorang ibu tunggal, Puan Salena Ahmad sedar akan nasib yang menimpa golongan ini. Beliau yang berkongsi kesusahan yang sama berusaha keluar dari kepompong ini untuk berdiri lebih tinggi. Hasratnya ini direalisasikan dengan mewujudkan sebuah syarikat perusahaan sosial yang dinamakan sebagai SURI. SURI mempunyai objektif utama iaitu memaksimumkan keuntungan melalui perniagaan yang didokong oleh golongan ibu tunggal. Ini selari dengan hasrat menambah pendapatan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal.

Menjalankan operasi di Sungai Udang, Klang, Selangor, Salena meneraju SURI dengan menarik sehingga 20 orang ibu tunggal di sekitar kawasan ini untuk menjalankan projek berasaskan jahitan. Menarik tentang projek ini ialah mereka menjahit pelbagai produk seperti beg sekolah, beg tangan, beg duit dan banyak lagi menggunakan seluar dan pakaian jeans yang terpakai. Walaupun projek ini berfokuskan keuntungan, produk ini mempunyai nilai inovasinya tersendiri. Inovasi yang menggunakan barangan kitar semula ternyata menyumbang ke arah pengurangan bahan buangan dan secara langsung mengangkat hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara hijau yang mesra alam. Usaha ini dijalankan berperingkat sesuai dengan kemahiran yang ada pada peserta. Salena memastikan peserta baru mempunyai peluang untuk belajar kemahiran menjahit asas sebelum dilatih menjahit produk yang ditempah. Projek ini dijalankan di rumah Salena sendiri yang dijadikan pusat operasi. Peserta membawa mesin jahit sendiri dan hadir bekerja secara separuh masa sekitar 8-16 jam seminggu. Menerusi projek ini, peserta mampu menjana pendapatan tambahan RM500-RM800 sebulan. Kebiasaannya, ibu tunggal yang mengikuti projek ini hanya mempunyai pendapatan RM1000 ke bawah. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, Halena mengharapkan usahanya ini sedikit sebanyak dapat menolong menampung tanggungan mereka. Projek yang dijalankan SURI juga membuka peluang kepada anak-anak ibu tunggal untuk turut serta membantu tugas-tugas sampingan. Secara tidak langsung, mereka turut dilatih dengan kemahiran menjahit dan juga ilmu perniagaan yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang.

Projek yang dijalankan ini tidak boleh kekal lama sekiranya tidak mempunyai sambutan dan sokongan dari pelbagai pihak. Namun, Salena tidak keseorangan. Dari semasa ke semasa, pelbagai pihak terdiri daripada badan bukan kerajaan dan agensi-agensi berterusan bekerjasama untuk membantu mereka. Sebagai tanggungjawab sosial korporat, mereka menyumbang dengan menyediakan bahan jahitan iaitu jeans terpakai dan menempah produk yang dihasilkan oleh SURI. Menerusi sumbangan ini, kos penghasilan dapat dikurangkan. Malah, dengan tempahan yang banyak, ia secara langsung memberi pendapatan kepada peserta SURI.

Perjuangan Salena membawa misi SURI ini turut memanggil Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk bekerjasama dengan mereka. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. YIM membuka pintu seluas-luasnya untuk membantu usahawan inovasi seperti Salena. Sememangnya YIM sedari awal penubuhannya memacu hasrat untuk mengangkat inovasi memberi manfaat kepada inovator, masyarakat dan komuniti, serta rakyat Malaysia amnya. Apa yang dilaksanakan Halena menepati ciri inovasi yang dicari oleh YIM. Dengan kerjasama ini, YIM bukan sahaja menyuntik dana kewangan, malah turut mengangkat perusahaan ini ke tahap yang jauh lebih tinggi.

Antara bantuan yang disumbangkan ialah mesin jahit berkuasa tinggi yang mampu beroperasi dengan baik pada penggunaan yang banyak. Sebelum ini, peserta terpaksa membawa mesin jahit sendiri. Menggunakan mesin jahit mudah alih tidak membantu dari aspek produktiviti, lebih-lebih apabila digunakan untuk menjahit kain jeans yang lebih tebal dan kasar berbanding kain biasa. Dengan adanya mesin jahit baru ini, produktiviti meningkat dan tempahan dapat disiapkan pada masa yang lebih singkat. Selain itu, aspek pemasaran tidak diabaikan. Pasaran dalam talian yang luas perlu dimanfaatkan. Atas sebab itu, YIM membina sebuah laman sesawang yang menjadi kedai alternatif yang memasarkan produk-produk yang dihasilkan. Menerusi laman ini, pembeli boleh melihat deskripsi setiap produk dan terus membuat pembelian dari situ. Tidak cukup dengan itu, YIM turut membuat tempahan beg sebanyak 200 unit untuk diedarkan menerusi pelbagai program yang dianjurkan. Sebagai sebuah agensi kerajaan, program yang dijalankan atau disertai oleh YIM kebiasaanya melibatkan rangkaian yang luas. Ini secara langsung membantu mempromosi produk yang dihasilkan oleh SURI. Kemuncaknya, YIM bekerjasama dengan SURI membina sebuah lagi pusat yang sama di Banting. YIM percaya pusat sebegini mampu memberi manfaat kepada golongan ibu tunggal tidak kira di mana mereka berada. Ternyata

Dalam usaha merapatkan jurang pendapatan, YIM telah menggerakkan projek High Impact Programme 6 (HIP6). Objektif utama HIP6 ialah untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat Malaysia dengan mencungkil idea dan inovasi sepertimana usaha yang dijalankan oleh Salena dan SURI. Projek ini dapat memberi manfaat dan impak kepada kumpulan sasar untuk mempertingkatkan taraf hidup komuniti dan golongan sasaran seperti golongan ibu tunggal.

Puan Salena Ahmad merupakan pengasas syarikat perusahaan sosial yang dinamakan sebagai SURI. Objektif utama SURI ialah untuk memaksimumkan keuntungan melalui perniagaan berasaskan jahitan yang didokong oleh golongan ibu tunggal. Tidak kira tua atau muda, tinggal di bandar besar atau di kampung pedalaman, golongan wanita perlu mempunyai keyakinan dan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan.

Dengan bantuan YIM, potensi inovasi dapat dikembangkan dengan sebaiknya. Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) membantu beliau dari aspek kewangan dan meningkatkan kemudahan sedia ada supaya perusahaan ini dapat dikembangkan di beberapa buah tempat lain.

Inovasi Berkaitan

Flexsilk

2020

Flexsilk ataupun dikenali sebagai Flexsible Silkscreen Printing Table telah dihasilkan oleh En. Mohd Firdaus Mohd Noh dari Kolej Kemahiran Tinggi...

Pengupas Kelapa 3in1

2019

Alat ini boleh mengupas kulit kelapa tua dengan cara memijak dengan kaki atau menekan dengan tangan dan mampu memotong atau...

Kundasang AquaFarm

2017

Kundasang Aquafarm merupakan satu-satunya ladang di Sabah yang mengaplikasikan teknologi hijau akuaponik dengan integrasi teknik akuakultur dan hidroponik. Ladang akuaponik...

Hubungi Kami

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai akitiviti kami atau ingin bertanya mengenai potensi perkongsian atau kolaborasi, lengkapkan borang berikut dan kami akan menghubungi anda!

Ditubuhkan sejak Oktober 2008, visi kami adalah untuk mendorong inovasi dan kreativiti di kalangan rakyat Malaysia, dengan menyasarkan kanak-kanak, belia, wanita, orang kurang upaya, masyarakat luar bandar dan organisasi bukan kerajaan.

Lokasi

Unit L3-E-1A & L3-E-1B,
Level 3, Enterprise 4,
Technology Park Malaysia,
57000 Bukit Jalil,
Kuala Lumpur

Hubungi Kami
Jom setia berhubung dengan kami

Langgan kami dan terima berita dan peristiwa terkini dari YAYASAN INOVASI MALAYSIA