MyTaman Bantu Tingkat Keselamatan Komuniti

Perumahan merupakan salah satu bahagian utama dalam pembangunan satu-satu kawasan. Seiring dengan perkembangan semasa, rata-rata pemaju menyediakan pasukan dan pos keselamatan bagi mengurangkan risiko jenayah. Kebiasaannya, penduduk diberikan pas khas untuk keluar dan masuk ke dalam kawasan perumahan. Pengawal pula ditugaskan untuk membuat kawalan 24 jam sehari menerusi rondaan secara berkala dan dibantu dengan kamera litar tertutup. Namun begitu, sistem kawalan sebegini kebanyakannya dipraktikkan di perumahan yang berstatus elit. Malah, disebalik kelengkapan ini, masih ada ruang yang boleh dipertingkat.

 

Logo MyTaman

Menyedari situasi ini, Nik Ahmed Nizam bin Nik Othman dan rakan-rakannya daripada Compunet Technology Sdn. Bhd. telah menghasilkan sebuah aplikasi pintar yang dinamakan sebagai MyTaman. Aplikasi untuk peranti mudah alih ini menambah keupayaan keselamatan dalam satu-satu perumahan. Ia berfungsi sebagai platform untuk menghubungkan pasukan keselamatan apabila berlakunya satu-satu kecemasan. Ia ditawarkan secara percuma di dua platform utama iaitu Android dan juga iOS.

 

Aplikasi ini ditawarkan dalam satu set lengkap yang mampu dimiliki oleh persatuan penduduk. Set ini mengandungi panel LED, siren pintar, router internet, dan panel ‘MyTaman Guard’ yang boleh dipasang di pintu masuk atau di pos pengawal. Fungsinya cukup mudah. Penduduk boleh memuatnaik aplikasi MyTaman di peranti pintar masing-masing secara percuma dan mendaftar di bawah persatuan penduduk. “Apabila berlakunya kecemasan, pengguna hanya perlu menekan butang kecemasan dalam aplikasi MyTaman. Info tentang kecemasan ini terus dihantar kepada pos pengawal dan semua penduduk untuk tindakan selanjutnya” jelas Nik Ahmed Nizam. Siren pintar akan berbunyi dan maklumat kecemasan dipaparkan pada panel LED. Lokasi tepat berlakunya kecemasan ini boleh diketahui berdasarkan nombor rumah yang telah berdaftar. “Ini memudahkan untuk bantuan sampai terus kepada mangsa,” tambah beliau lagi.

 

Set MyTaman yang disediakan di pos pengawal.

MyTaman turut mempunyai fungsi ‘Pas Pelawat’. Pelawat yang ingin masuk ke dalam kawasan perumahan perlu mendaftar dengan mengimbas kad pengenalan dan memberikan nombor rumah yang ingin dilawati. “Tuan rumah akan dimaklumkan oleh sistem tentang butir-butir pelawat tersebut seperti nombor pendaftaran dan jenis kereta,” jelas Nik Ahmed Nizam. Langkah ini bertujuan mengelakkan kemasukan orang luar secara bebas yang boleh menambah risiko keselamatan. Menurut beliau lagi, MyTaman juga berfungsi sebagai platform perkongsian maklumat. “Pengerusi persatuan penduduk misalnya boleh berkongsi info berkenaan program yang bakal diadakan. Manakala penduduk yang lain boleh memberi komen dan maklum balas pada makluman tersebut,” jelas beliau.

 

Untuk memastikan sistem keselamatan MyTaman ini berfungsi, internet diperlukan. Bagi Nik Ahmed Nizam dan pasukannya, fungsi internet tidak hanya untuk sistem ini sahaja. “Wifi penting untuk pendidikan masa sekarang. Semua maklumat berada di hujung jari,” kata beliau. Mereka berusaha menarik pelabur untuk mengaplikasikan sistem MyTaman dan Wifi percuma di kawasan perumahan luar bandar. “Kawasan tumpuan ialah perumahan yang tidak mempunyai sistem kawalan keselamatan yang baik. Dengan adanya sistem MyTaman, risiko berlakunya jenayah dapat dikurangkan,” jelas Nik Ahmed Nizam. “Dalam masa yang sama, kita mahukan wifi ini digunakan untuk tujuan pendidikan, khususnya oleh golongan muda,” tambah beliau lagi.

 

Ketua Pegawai Operasi YIM, Puan Florence Ki (tengah) bersama Nik Ahmed Nizam (kiri) dan Latife (dua dari kiri) ketika perbincangan di Pejabat YIM.

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) melihat MyTaman sebagai satu perkhidmatan yang berpotensi besar. Menerusi Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6), YIM memberi bantuan kepada MyTaman untuk mengembangkan perkhidmatan mereka. Menerusi dana HIP6, YIM menekankan aspek promosi bagi memperkenalkan MyTaman dengan lebih meluas. Bagi tujuan itu, lima buah taman di Penampang, Sabah terpilih untuk menjadi lokasi perintis sistem keselamatan ini secara percuma. Koordinator projek YIM, Latife Shamsuddin berkata, “Langkah ini merupakan usaha YIM untuk membantu syarikat yang mengendalikan MyTaman meningkatkan keupayaan mereka. Pada masa yang sama, lima buah taman yang merangkumi 4000 orang penduduk dapat meningkatkan keselamatan komuniti mereka”. Sistem kecemasan MyTaman ini turut dihubungkan dengan Polis, Bomba dan Majlis Bandaraya Daerah Penampang. “Keberkesanan sistem MyTaman di taman-taman ini akan membuka mata lebih banyak persatuan penduduk untuk menggunakan perkhidmatan ini,” tambah Latife lagi.

 

Selain itu, YIM juga membantu pihak MyTaman untuk mendapatkan lesen hak cipta bagi mengekalkan hak eksklusif produk perkhidmatan ini. “Bantuan yang diberikan oleh YIM sangat membantu kami untuk mengembangkan perkhidmatan MyTaman,” jelas Nik Ahmed Nizam. “Operasi di lima buah taman di Penampang akan memberi peluang kepada kami untuk menambah baik perkhidmatan. Maklum balas pengguna akan diteliti sebaiknya untuk meningkatkan kualiti yang diberikan,” tambah beliau lagi.

Leave A Comment