Nano Maker Kit Bantu Lonjak Kemahiran STEM

Sejak tahun 1960-an, bidang sains dan teknologi mula menjadi perhatian dalam bidang pendidikan di Malaysia. Dasar pendidikan negara ketika itu memperkenalkan nisbah 60:40 yang menyasarkan majoriti pelajar mendapat ruang dan peluang terjun ke dalam bidang ini. Setelah hampir 50 tahun berlalu, beberapa perubahan telah dilakukan atas kepentingan dan tujuan yang sama. Pada tahun 2013, kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah meluluskan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN). Manakala Kementerian Pendidikan pula bergerak menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Dasar dan pelan ini disusun sebagai penerus legasi untuk mengangkat bidang sains, teknologi, pendidikan dan matematik (STEM) dengan harapan sumber manusia yang dibina hari ini, bakal memacu negara Malaysia sebagai negara maju.

 

Robotik telah lama menarik minat pelajar dalam bidang STEM. (Sumber: Utusan)

Peribahasa ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kerajaan sedar pembentukan insan perlu bermula awal sedari pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah. Untuk itu, pelbagai program yang mengetengahkan STEM dilaksanakan. Antara program yang terkenal ialah Pertandingan Robotik Kebangsaan yang telah melibatkan ratusan buah sekolah sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005. Peranan pihak kerajaan semata-mata pasti menyukarkan usaha ini. Oleh itu, terdapat banyak pihak yang tampil membantu. Antara pihak yang terlibat secara langsung dalam program dan aktiviti sebegini ialah Creative Minds Sdn. Bhd. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Shafiq Shahrul Amar menjadi tulang belakang syarikatnya yang bergerak aktif dalam sektor pendidikan di kawasan luar bandar menerusi kolaborasi dengan badan berkanun dan juga badan swasta. “Kami telah lama terlibat dalam dunia robotik khususnya dalam bidang pendidikan di Malaysia. Penglibatan pelajar sangat menggalakkan namun kita boleh lihat terdapat penurunan,” jelas Shafiq.

 

Shafiq mahu kembangkan kaedah pembelajaran bidang STEM.

Telah lama berkecimpung dalam program pemerkasaan STEM dalam sektor pendidikan, Muhammad Syafiq menyedari bahawa perubahan dan penambaikan perlu dilakukan. “Terdapat laporan terkini bahawa berlakunya penurunan pelajar dalam aliran sains. Isu ini boleh dikaitkan dengan kekurangan sumber dan pilihan dalam pembelajaran STEM sebagai daya penarik,” ujar beliau. Malah, beliau merasakan sumber teknologi, program dan aktiviti yang sedia ada sekarang tidak mencukupi untuk menarik dan mengekalkan minat pelajar. “Robotik kini sudah tidak mampu menjadi penarik utama. Kita perlukan sesuatu yang baru,” kata Shafiq. Untuk itu, beliau mempunyai hasrat untuk menghasilkan “Nano Maker Kit” (NMK) sebagai salah satu sumber alat bantuan mengajar dalam bidang STEM.

 

Dalam bidang STEM, set robotik telah lama digunakan. Namun, ianya masih tidak menyeluruh di semua sekolah berikutan harganya yang mahal. “Set robotik Malah, ianya tidak mampu untuk memenuhi konsep pelajaran STEM secara holistik. Pembelajaran menerusi set robotik juga menyukarkan pelajar belajar dan memahami pelajaran rentas bidang khususnya bidang STEM. NMK yang dicadangkan oleh Muhammad Syafiq merupakan alternatif yang mampu mengurangkan masalah-masalah ini.

 

Antara contoh ‘maker kit’ yang diusahakan oleh Creative Minds Sdn. Bhd.

Konsep pembelajaran menggunakan ‘maker’ sebenarnya sudah digunakan namun tidak secara meluas, lebih-lebih lagi dalam sektor pendidikan STEM di Malaysia. Di pasaran luar negara, set atau kit ‘maker’ sebegini mudah didapati. Namun di Malaysia, harga yang ditawarkan masih lagi boleh dikategorikan sebagai mahal dan ini menyukarkan pihak sekolah untuk memilikinya. Malah, kurangnya kepakaran untuk menjadi tenaga pengajar menyebabkan ianya tidak begitu popular. NMK ciptaan Muhammad Syafiq mempunyai hasrat untuk membantu persekitaran pembelajaran robotik dan seterusnya menjadi alternatif mampu milik kepada set ‘maker’ sedia ada di pasaran.

 

NMK merupakan satu set alat pembelajaran yang terdiri daripada papan eletronik utama yang boleh disambungkan kepada komputer. Beberapa alat eletronik pelbagai fungsi turut diserta untuk digabungkan ke atas papan tersebut mengikut kreativiti pengguna. Antara fungsi yang disediakan ialah pembesar suara, lampu LED, motor, suis, dan sebagainya. Fungsi ini boleh direka untuk pelbagai tahap dan kepakaran pengguna. Menggunakan NMK, pelajar khususnya boleh mencipta alat pelbagai fungsi dengan mengaplikasikan pelajaran STEM. Malah guru juga boleh menyesuaikan NMK dengan topik-topik tertentu. Tambahan pula, dengan gabungan set robotik sedia ada, ruang untuk mengaplikasi STEM semakin luas. Dengan persaingan yang sihat seperti yang diperolehi menerusi Pertandingan Robotik Kebangsaan, NMK juga mampu menyediakan platform untuk para pelajar mempamerkan kebolehan, kemahiran dan nilai kreativiti serta inovasi.

 

Nano Maker Kit boleh digunakan mengikut kreativiti guru dan pelajar.

Dalam pencarian inovasi inklusif menerusi High Impact Programme 6 (HIP6), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menemui NMK, idea inovasi yang dibangunkan oleh Muhammad Syafiq dan syarikatnya. Koordinator projek dari YIM, Muhamad Firdaus Hamzah berkata,  teknologi yang ditawarkan oleh NMK bukan sahaja memenuhi hasrat kerajaan untuk mengangkat bidang STEM, malah turut mempunyai nilai inklusif yang mampu milik, berkualiti tinggi, dan boleh digunakan pada jangka masa yang panjang. “Menerusi HIP6, YIM mencari inovasi yang mampu mengurangkan jurang akses kepada teknologi yang sukar diperolehi kerana pelbagai faktor seperti harga yang mahal dan kurang kepakaran. Sektor pendidikan antara yang menjadi tumpuan dan NMK dilihat mampu mengisi ruang yang ada,” jelas Firdaus. Perkembangan ini bakal merubah landskap pengajaran dan pembelajaran sedia ada. Menerusi NMK, para pengajar turut dibekalkan dengan kemahiran supaya mudah untuk mengaplikasinya dalam sesi bilik darjah mahupun aktiviti kokurikulum. YIM membantu menyediakan silibus pengaturcaraan robotik yang boleh digunakan oleh guru dan pengajar. “Silibus ini penting supaya NMK dapat diaplikasi dalam subjek-subjek yang berkaitan,” kata Syafiq.

 

Dari semasa ke semasa, Syafiq dan syarikatnya aktif melaksanakan bengkel yang melibatkan pelajar sekolah. Usaha ini disokong oleh YIM dengan membantu membangunkan NMK supaya ianya mempuyai lebih banyak variasi dan fungsi. Dengan Geran Pembangunan Inovasi, inovator dibekalkan dana yang mencukupi untuk proses kajian dan pembangunan (R&D) produk. Bagi meluaskan usaha ini, YIM turut melibatkan Syafiq dalam pelbagai program dan pameran yang turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Langkah ini bertujuan untuk mempromosi usaha yang dilakukan oleh Syafiq. “Saya berharap lebih ramai pihak yang berminat untuk melabur demi kepentingan pendidikan pelapis negara kita,” kata Syafiq.

 

Pelbagai fungsi boleh dimuatkan dalam set yang kecil.

Perkembangan dunia teknologi memerlukan perkembangan yang selari dalam dunia pendidikan. Usaha untuk memperkasa bidang STEM perlu diusahakan oleh pelbagai pihak tanpa melepaskan tangan kepada kerajaan dan kementerian berkaitan semata-mata. Idea inovasi yang dibawa oleh Muhammad Syafiq antara contoh usaha yang perlu disokong dan YIM memastikan idea ini dapat dibangunkan sebaik mungkin untuk manfaat para pelajar di Malaysia.

Leave A Comment