Peniaga Pasar Malam Cipta Bateri Mesra Alam

Riuh-rendah suasana di pasar malam sudah menjadi halwa telinga bagi peniaga dan pengunjung pasar malam. Salah seorang daripada peniaga tersebut ialah seorang inovator yang bersemangat tinggi. Ini adalah kisah beliau. “Saya menjual piza di pasar malam. Tiap-tiap hari bertukar tempat,” kata Mohd Feroz Zainal. Sebagai seorang peniaga pasar malam, sudah pasti lokasi jualannya tidak sama setiap hari. Lokasi yang strategik perlu dicari bagi mendapatkan jualan yang banyak. Jualan piza ternyata memberi kelebihan kepadanya kerana saingan yang kurang. Dengan rasa yang enak dan harga yang berpatutan, ramai pelanggan menunggu-nunggu hasil air tangannya.

Di sebalik kerancakan berniaga, terdapat keluh kesah yang perlu dilalui oleh para peniaga pasar malam. “Berniaga waktu malam tak sama dengan siang. Banyak kena guna tenaga elektrik untuk pencahayaan dan sebagainya,” jelas Mohd Feroz. Luahan beliau sebenarnya dikongsi oleh ramai peniaga jalanan. Masalah utama ialah untuk mendapatkan bekalan elektrik bagi menyalakan lampu dan menghidupkan mesin-mesin seperti pengisar, peti sejuk beku, malah untuk mengecas telefon bimbit. Situasi yang biasa kita lihat ialah penggunaan generator yang dikuasakan dengan minyak petrol atau diesel. “Generator hasilkan bunyi yang kuat dan asap yang tidak menyenangkan pelanggan,” tambah beliau lagi. Rata-rata daripada kita pasti terbiasa dengan keadaan ini ketika membeli di pasar malam. Walaupun terpaksa bersesak-sesak dengan orang ramai, pasar malam tetap menjadi tumpuan kerana pilihan dan harga yang murah.

“Guna generator banyak ‘makan’ duit. Tambah lagi dengan harga minyak yang semakin tinggi,” luah Mohd Feroz. Beliau membelanjakan kira-kira RM8 sehari untuk membeli minyak bagi kegunaan generator. Ini belum termasuk kos penyelenggaraan yang tinggi. Keadaan ini memaksa beliau mencari alternatif lain yang lebih baik. Percubaan pertamanya ialah menggunakan bateri kereta. Ternyata idea ini tidak praktikal kerana ia boleh menyebabkan bateri tersebut cepat kehabisan tenaga. Untuk mengecasnya pula, terpaksa di bawa ke bengkel kereta. “Leceh sebab saya habis menjual waktu malam, bengkel semua dah tutup.”

Masalah yang dihadapi tidak melemahkan semangatnya. Mohd Feroz terus berusaha untuk mencipta sesuatu bagi mencapai hasratnya. Di fikirannya, alternatif kepada generator mestilah jauh lebih baik, murah, ringan, dan mesra alam. Mengambil ilham penggunaan bateri kereta, beliau mendapat idea membuat bateri dengan cara tersendiri. “Aku tiada pengalaman dalam bidang eletrik, tapi belum cuba belum tahu,” beliau memberi inspirasi kepada dirinya. Ternyata, detik ini menjadi titik penting dalam perjalanan hidupnya. Tanpa pengalaman, kepakaran dan juga peralatan yang cukup, beliau mulakan langkah pertama dengan membina kotak bateri mudah alih pertamanya. Ideanya ialah mencipta bateri dalam bentuk kotak mudah alih. Ia dimuatkan dengan soket 3 pin yang sesuai digunakan oleh peralatan eletrik konvensional. Biasalah, percubaan pertama tidak selalunya sempurna. Wayar berselerak, susunan tidak teratur, pemasangan longgar dan macam-macam lagi. Tapi ideanya berjaya dihidupkan dan bateri ini mampu berfungsi dengan baik.

Di sebalik kesibukan berniaga, beliau masih sempat mencuri masa untuk menambah baik baterinya ini. Mohd Feroz sedar banyak lagi yang boleh diperbaiki. Langkah seterusnya, beliau bertindak lebih proaktif dengan mendapatkan bantuan rakan-rakannya yang lebih mahir dalam selok-belok bidang elektrik dan elektronik. Dengan khidmat nasihat itu, bateri yang direkanya lebih tersusun dan stabil. Dengan versi yang lebih baik dari sebelumnya, beliau telah menggunakan bateri ini selama tiga tahun. Kejayaan bateri ini bukan sahaja memberi kepuasan kepada beliau. “Saya tertarik dengan bateri mudah alih ini. Ringan dan mudah digunakan. Lebih jimat dan selamat digunakan berbanding generator,” kata Ahmad, rakan peniaga pasar yang membeli bateri inovasi Mohd Feroz.

Kelebihan yang ada pada bateri ini mula tersebar di kalangan peniaga pasar malam. Rakan-rakan Mohd Feroz mula mencadangkan beliau untuk menyertai beberapa pertandingan inovasi dengan harapan produknya ini dapat dikembangkan lagi. Beliau menerima cabaran tersebut dengan semangat yang tinggi. Namun, beberapa pertandingan yang disertainya gagal menarik perhatian juri. “Saya kurang pandai bercakap di hadapan orang ramai. Mungkin ini kelemahan saya,” luah beliau. Namun beliau tidak berputus asa. Beliau yakin bahawa inovasinya ini mempunyai potensi yang besar untuk dikongsi oleh orang lain. Sehinggalah pada suatu hari, rakannya memberitahu berkenaan sebuah program inovasi yang dianjurkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Program yang dimaksudkan ialah Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRIs). Berlainan dengan program lain, MaGRIs memberi fokus kepada inovasi akar umbi yang mempunyai kelebihan yang sering dipandang sebelah mata. Bagai bulan jatuh ke riba, Mohd Feroz berjaya menarik perhatian juri untuk melayakkannya menjadi salah seorang pemenang. Dengan kemenangan ini, beliau mendapat geran pembangunan produk sebanyak RM30,000. Beliau bersyukur kerana YIM membuka ruang dan peluang untuk dirinya walaupun telah berdepan kegagalan sebelum ini.

Di pihak YIM, program inovasi sentiasa menjadi keutamaan. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkongsi bahawa usaha yang dilakukan oleh YIM merupakan usaha kerajaan untuk mengangkat inovasi akar umbi iaitu inovasi yang mampu menyelesaikan masalah harian. Bagi peniaga jalanan, bateri yang dicipta oleh Mohd Feroz menjadi alternatif yang lebih baik. Penggunaan generator yang membawa lebih banyak masalah kini boleh diatasi.

Bersama YIM, pembangunan produk inovasi bateri mudah alih diteruskan dengan tersusun dan holistik. Dengan pengalaman dan sumber yang ada pada YIM, pelbagai penambahbaikan dilakukan. “Produk saya jauh lebih baik dari sebelumnya. Malah fungsi turut bertambah,” jelas Mohd Feroz. Beliau sedar beberapa perkara yang perlu ada pada bateri tersebut berdasarkan pengalamannya berniaga di waktu malam. Maka, diletakkannya lampu yang siap dipasang pada bateri tersebut. Malah, soket UBS untuk mengecas telefon turut dimuatkan. “Kadangkala telefon kehabisan bateri ketika berniaga. Bateri ini memudahkan pengguna, lebih-lebih lagi untuk perhubungan kecemasan pada waktu malam.”

“Kerjasama dengan YIM membuka lembaran baru dalam hidup saya,” kata Mohd Feroz. Kemuncaknya, produk inovasi ini didaftarkan hak cipta atas namanya. Sepertimana produk elektronik yang lain, bateri ini juga telah diperakui oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Beliau juga memenangi dana kedua untuk pengkomersialan bernilai RM40,000 dari YIM. Kini, beliau mempunyai produk yang baru selain daripada piza yang dijual di pasar malam. Beliau juga berkata, jika tidak kerana peluang ini, perjalanan mencipta bateri yang terbaik pasti mengambil masa yang lama. “Kalau tidak, saya teruskan berniaga piza sahaja. Saya tak cukup masa, dana, dan kepakaran.”

Satu perkara yang jelas dalam kisah ini ialah sesiapa sahaja boleh menjadi inovator. Mohd Feroz langsung tiada kepakaran dalam bidang elektrik untuk menghasilkan bateri. Dari suka-suka, beliau komited dan terus berusaha sehingga apa yang diinginkan membuahkan hasil. Tidak mengapa jika hasil pertama tidak sempurna kerana masih jauh perjalanan untuk dilalui. Tapi perjalanan ini mampu dipendekkan dengan usaha oleh pelbagai pihak untuk mengangkat inovasi di Malaysia. “Banyak lagi inovasi daripada orang kampung macam saya. Saya bertuah dan bersyukur kerana ada pihak yang sudi memandang usaha kecil saya,” Mohd Feroz berkongsi ucapan dan harapan.

Kini, Mohd Feroz bukan sahaja sibuk menjual piza, malah turut menerima permintaan daripada pelbagai pihak untuk mendapatkan produk inovasinya. Dikenali sebagai Battery Pack C13, produk ini telah mula dijual berdasarkan permintaan. Harapan beliau untuk berkongsi manfaat produk ini kepada orang ramai akhirnya tercapai. Kisah ini wajar menjadi inspirasi kepada semua orang untuk berinovasi dalam menyelesaikan masalah seharian di samping menjana pendapatan tambahan.

Leave A Comment