Pensyarah Cipta Mesin Pencetak 3D Mampu Milik

Terima kasih kepada aplikasi teknologi computer numerical control (CNC), mesin pencetak tiga dimensi (3D) semakin terkenal, lebih-lebih lagi di zaman serba canggih ini. Menerusi perisian berkomputer, pengguna boleh melakar atau membina sesuatu benda dalam bentuk tiga dimensi dan kemudiannya mencetaknya menggunakan pencetak khas. Jika pencetak kertas konvensyenal mampu mencetak gambar bunga, pencetak 3D pula menghasilkan bunga itu sendiri. Ia berfungsi dengan membuat lapisan demi lapisan plastik sehingga bentuk model yang diinginkan terhasil. Dengan adanya mesin sebegini, hampir semua benda boleh dihasilkan bergantung kepada kreativiti pengguna.

Model bangunan dicetak menggunakan pencetak 3D.

Bagi Encik Ho Rui Jin, teknologi sebegini perlu ditekankan sedari awal. “Negara kita memerlukan kepakaran dalam bidang teknikal untuk menyumbang dalam perkembangan sains, teknologi dan juga inovasi,” jelas pensyarah di Politeknik Kuching, Sarawak ini. Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai RJ memahami kepentingan untuk mendedahkan bidang ini kepada generasi muda. Dalam masa yang sama, RJ juga sedar bahawa teknologi ini bukanlah murah. Mesin-mesin 3D yang dijual dipasaran kebiasaannya berspesifikasi tinggi menyebabkan harganya yang mahal. “Di peringkat sekolah dan kolej komuniti, kita hanya perlukan mesin berspesifikasi asas yang mampu menambah nilai dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” ulas beliau. Sebagai seorang tenaga pengajar di institut pengajian tinggi yang berfokuskan kemahiran teknikal, beliau sedar bahawa pembelajaran secara amali sangat penting. Untuk itu, segala kelengkapan seperti mesin-mesin yang berkaitan perlu ada dan digunakan sendiri oleh pelajar.

“Minat terhadap bidang kemahiran perlu ditanam sejak dari bangku sekolah,” kata RJ. Namun begitu, tidak semua sekolah mempunyai peluang untuk menggunakan teknologi yang terbaru seperti mesin pencetak 3D. Hal ini disebabkan kos pemilikan dan penyelenggaraan sesebuah mesin agak tinggi. Malah, ia memerlukan kepakaran yang tinggi untuk mengendalikan mesin ini. Di peringkat kolej komuniti pula, masalah yang hampir sama berlaku. “Saya melihat terdapat kekurangan sumber seperti mesin pencetak 3D. Sedangkan ramai yang berminat untuk mempelajarinya,” jelas RJ lagi.

Para pelajar tekun mendengar perkongsian pengendalian mesin pencetak 3D.

Permasalahan yang dilihat oleh RJ sebenarnya tertumpu kepada golongan yang memerlukan bantuan. Pihak pelajar, sekolah dan kolej komuniti tidak sepertimana institut-institut pengajian tinggi awam yang tersohor yang banyak menerima bantuan daripada kerajaan serta mempunyai kepakaran dan sumber yang luas. Walaupun begitu, tidak bermakna golongan ini perlu dipinggirkan. Sebagai salah satu usaha untuk menyelesaikan masalah ini, RJ mendapat ilham untuk membina mesin pencetak 3D versinya sendiri. “Pengalaman saya dalam bidang teknikal mendapati mesin pencetak 3D boleh dibina dengan harga yang jauh lebih murah berbanding produk yang sedia terbina yang dijual di pasaran”, kata RJ. Jelas beliau lagi, komponen yang diperlukan boleh dibeli berasingan dan dipasang menggunakan kemahirannya. Kaedah ini lebih menjimatkan kos dan beliau boleh memilih spesifikasi yang sesuai untuk digunakan di sekolah dan kolej komuniti.

Idea untuk mencipta mesin pencetak 3D mampu milik bukanlah semudah perancangan di atas kertas. Antara masalah yang dihadapi oleh RJ ialah dari aspek kewangan. Beliau tidak mendapat peruntukan yang cukup untuk melakukan proses penyelidikan dan pembangunan mesin ini. Namun, hasrat beliau untuk membantu tidak pernah terhenti di situ. Ketika mendapat berita tentang Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif yang dianjurkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), beliau merasakan inilah peluang yang perlu direbut untuk mengembangkan hasrat dan impiannya. “Pertandingan ini menawarkan bantuan kewangan kepada inovasi terbaik khususnya kepada kumpulan inklusif. Ia meliputi kumpulan sasaran yang sama yang menjadi fokus mesin saya ini. Jadi saya yakin idea saya boleh dipertaruhkan,” ujar RJ ketika membentangkan inovasinya. HIP 6 merupakan inisiatif untuk merapatkan jurang akses dalam kalangan rakyat yang memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40). Salah satu fokusnya ialah bidang pendidikan.

Muhammad Firdaus turut terlibat dalam bengkel 3D yang dianjurkan oleh YIM.

Ternyata, idea inovasi RJ berjaya memikat hati juri. Beliau terpilih untuk menerima Geran Pembangunan Inovasi untuk membangunkan mesin pencetak 3Dnya. Menerusi geran ini, RJ dibantu untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan inovasinya. Sepanjang tempoh itu, YIM menerusi koordinator projek, Encik Muhammad Firdaus Hamzah banyak terlibat untuk memastikan mesin ini dapat dibangunkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. “Kami menetapkan masa setahun sebelum produk akhir dikeluarkan,” jelas Firdaus. “Walaupun masa singkat dan kesibukan RJ sebagai pensyarah, kami sedaya upaya memberikan perkhidmatan dan sumber yang diperlukan oleh beliau,” tambah beliau lagi. Bagi RJ, Firdaus dan YIM banyak membantu tanpa mengira masa. “Walaupun di luar waktu kerja, Firdaus terus melayan pertanyaan dan permintaan saya. Komitmen yang ditunjukkan beliau dan YIM menaikkan semangat saya untuk menyiapkan mesin ini pada tempoh yang ditetapkan,” ujar RJ. Walaupun konsep mampu milik digunakan, YIM memastikan kualiti mesin pencetak 3D ini berada di tahap tinggi. Dengan rangkaian yang luas, YIM berjaya mengenal pasti pengeluar luar negara yang menawarkan harga komponen eletronik yang murah dan berkualiti tinggi.

Pencetak 3D mampu milik ciptaan RJ.

RJ turut menyifatkan YIM sebagai organisasi yang tersusun yang komited untuk membangunkan inovasi. “YIM membuka ruang kepada inovasi saya untuk diketengahkan kepada umum,” kata beliau. Baru-baru ini, Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX 2018) telah berlangsung. Ianya adalah satu platform bagi PKS tempatan untuk meneroka pasaran baru. Untuk memperkenalkan produk inovasi di bawah bimbingan YIM, inovator-inovator diberi peluang untuk turut serta dalam pameran ini. “Penyertaan ini memberi pengalaman yang berharga kepada saya. Ramai yang menunjukkan minat terhadap mesin pencetak 3D. Malah saya turut berpeluang bertukar-tukar maklumat untuk menambahbaik mesin ini,” jelas RJ lagi.

RJ bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Encik Anthony Tany Kiob di SMIDEX 2018 baru-baru ini.

Ketika mesin pencetak 3D ini di peringkat akhir pembangunnya, YIM mengadakan bengkel 3D di Kolej Komuniti Tuaran. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di sini di samping mengambil maklum balas berkaitan pembelajaran menggunakan mesin 3D. Maklum balas yang diterima sangat memuaskan kerana para pelajar dapat mempraktikkan pembelajaran teori.

Gambar peserta Bengkel 3D di Kolej Komuniti Tambunan.

Baru-baru ini, YIM telah melakukan Majlis Penyerahan Produk Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di Tambunan, Sabah. Majlis ini boleh disifatkan sebagao kemuncak kepada perjalanan pembangunan inovasi. Produk akhir yang sudah siap sepenuhnya kini disumbangkan kepada golongan yang memerlukan. Dalam majlis ini, salah satu produk inovasi yang diserahkan ialah mesin pencetak 3D yang dicipta oleh RJ. Pada peringkat permulaan ini, sebanyak dua buah mesin yang masing-masing diserahkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tuaran dan juga Kolej Komuniti Tuaran. Encik Tany Anthony Kiob, Ketua Pegawai Eksekutif YIM berkata penyerahan ini merupakan salah satu bentuk sumbangan yang diberikan oleh YIM untuk komuniti terpilih. “Mesin pencetak 3D akan memberikan pengalaman baru kepada pelajar dan pendidik di sini. Pada masa terdekat, kita akan hasilkan beberapa buah mesin lagi untuk disumbangkan,” jelas beliau lagi.

Encik Tany menyampaikan sumbangan produk HIP 6 kepada wakil komuniti di Tambunan.

 

Leave A Comment