Perabot Pelbagai Fungsi – Pensyarah Hasilkan Inovasi Jimat Ruang dan Mampu Milik

Sun Tzu pernah mencatatkan falsafah ringkas berkenaan inovasi dan kreativiti. Katanya, “Warna asas itu hanya lima, namun jika digabung-gabungkannya, maka terhasillah warna-warna yang tidak terbayang di mata.” Begitulah juga dengan konsep inovasi yang membina sesuatu berasaskan produk sedia ada. Kadang kala ianya boleh terhasil daripada masalah seharian. Lain orang, lain masalahnya. Maka lain jugalah inovasi yang tercipta disebalik masalah tersebut. Di Institut Kemahiran Mara Alor Setar, Encik Huzaireen Hassan Asri yang pernah menjadi ketua warden di sini menghadapi masalah di asrama pelajar seliaannya. Masalah seperti ini sebenarnya turut dihadapi oleh pelajar-pelajar lain di semua asrama atau tempat kediaman. Masalah yang dimaksudkan ialah ruang yang sempit untuk dimuatkan perabot keperluan pelajar.

 

Huzaireen (tengah) menunjukkan pingat yang dimenanginya.

 

“Dalam setiap bilik di asrama IKM, selain katil sebagai keperluan utama, ruangan perlu diisi dengan almari pakaian, meja belajar dan rak kasut untuk kegunaan para pelajar,” jelas Huzaireen. “Namun ruang yang kita ada sangat terhad,” tambah beliau. Berhadapan dengan masalah ini, beliau yang juga pensyarah di sini mula merancang satu projek pembinaan set perabot pelbagai guna yang mampu memenuhi ruang yang terhad. Idea ini turut dikongsi bersama dengan dua lagi rakan pensyarah iaitu Mohd Hafizuddin Ariffin dan Abdul Afiq Abdul Rahman Sani. Komitmen mereka turut disuntik dengan menyertai beberapa pertandingan bagi memperkenalkan produk buat kali pertama. Berbekalkan kepakaran dan kemahiran yang ada, kumpulan inovator ini mula melakukan penyelidikan dan pembangunan berdasarkan produk sedia ada. “Tanpa mengurangkan fungsi perabot yang telah tersedia di bilik kediaman pelajar, kami cuba mencipta satu set perabot yang bersaiz kompak yang mempunyai pelbagai fungsi berbeza,” kata Huzaireen.

 

Setelah beberapa kali ubahsuai, akhirnya terhasillah perabot yang dinamakan sebagai Furniture in Life (FIL). FIL bukanlah perabot tipikal yang biasa ditemui di mana-mana kedai atau gudang perabot. “Kami cuba mengurangkan penggunaan ruang dengan menggunakan konsep semua dalam satu (all-in-one),” jelas Huzaireen. Ianya merupakan gabungan 24 fungsi yang dikompakkan dalam satu perabot. Huzaireen dan kumpulannya sedar bahawa masalah ruang yang terhad perlu diatasi dengan meminimumkan saiz perabot tanpa mengurangkan fungsinya. Menerusi FIL, pengguna boleh memanfaatkan fungsi utama yang perlu ada pada setiap bilik. Antara fungsi-fungsi utama FIL ialah katil, rak kasut, meja belajar, papan seterika dan rak buku. FIL juga mempunyai fungsi-fungsi tambahan yang lain seperti laci alat solek, cermin, laci papan kekunci, ruang monitor, ruang simpanan pakaian dan banyak lagi. Kesemua 24 fungsi ini sebenarnya amat praktikal, lebih-lebih lagi untuk kegunaan para pelajar.

 

FIL bersifat kompak untuk ruang yang terhad.

FIL mengandungi pelbagai fungsi dan boleh ditempah mengikut kehendak pengguna.

 

Produk yang dihasilkan Huzaireen dan rakan-rakan inovatornya diiktiraf dalam beberapa pertandingan inovasi yang disertai mereka. Antaranya ialah memenangi pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Kreativiti Peringkat Kolej Vokasional. Menyedari potensi yang ada pada produk ini, mereka memperkukuhkan langkah dengan mempatenkan reka bentuk produk ini. Dengan adanya lesen hak cipta ini, mereka boleh memasarkan FIL dengan mudah dan meluas. Antara pencapaian terbaik mereka ialah apabila menerima tempahan sebanyak 50 unit FIL melalui sebuah syarikat perniagaan perabot.

 

Pembinaan FIL di bengkel perabot.

Untuk memperkukuhkan lagi inovasi ini, Huzaireen dan rakannya menyahut cabaran Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif. HIP 6 merupakan program yang digerakkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk mencari inovasi inklusif yang mampu menangani jurang pendapatan dan akses rakyat Malaysia. Dengan adanya produk inovasi inklusif yang berkualiti tinggi dan mampu milik, golongan berpendapatan rendah mampu menikmati produk yang setanding dengan produk yang lebih mahal. Produk FIL juga membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya komuniti B40 yang rata-rata tinggal di kediaman seperti flat yang mempunyai ruangan kecil dapat menikmati hasil inovasi ini. Kelebihan yang terdapat pada FIL telah berjaya melayakkan mereka memenangi Geran Pembangunan Inovasi untuk mengembangkan lagi produk ini.

 

FIL turut dipasang di Pejabat YIM.

Menerusi bantuan geran ini, YIM membantu menambahbaik beberapa aspek. Bagi setiap inovasi, YIM mewakilkan seorang koordinator projek bagi mengawal selia perjalanan pembangunan produk. Projek Inovasi FIL telah dibantu oleh Encik Mohamad Latife Shamsuddin, koordinator yang berpengalaman mengendalikan beberapa produk inovasi lain. “Inovator seperti Huzaireen mempunyai potensi dan kepakaran untuk membangunkan lebih banyak inovasi pada masa akan datang. Malah, sebagai seorang pensyarah, beliau telah berkongsi kepakaran bersama dengan para pelajar beliau bagi melahirkan lebih ramai usahawan inovasi perabot pada masa hadapan,” kata Latife. YIM melihat potensi ini sebagai sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Oleh itu, YIM menyediakan peluang untuk meningkatkan tahap kemahiran sedia ada dalam Sijil Kemahiran Malaysia. “YIM ingin memastikan kepakaran beliau tidak terhenti setakat ini sahaja. Kita menjangkakan lebih banyak produk inovasi yang bakal dikeluarkan oleh Huzaireen dan kumpulannya,” jelas Latife lagi. Bagi Huzaireen, peluang ini menjadi batu loncatan untuk meningkatkan kemahirannya. “Pembelajaran tidak pernah terhenti. Peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk dicurahkan kembali kepada para pelajar,” ujar beliau.

 

 

Selain itu, YIM komited dalam usaha menambah baik produk sedia ada. “YIM menyediakan pelan penyelidikan dan pembangunan selama setahun,” jelas Latife. Pelan ini memastikan pembangunan produk dapat disempurnakan sebaiknya. Huzaireen menyifatkan usaha YIM ini sebagai langkah penting untuk menambah baik produk sedia ada. “Walaupun kami telah menyiapkan FIL, namun masih banyak ruang untuk diperbaiki. Dengan bantuan geran pembangunan dari YIM, kami dapat memanfaatkannya,” kata beliau. Dengan ini, FIL versi baru yang mempunyai lebih banyak fungsi dapat dihasilkan. “Versi baru ini mempunyai fungsi tambahan dan kami berjaya mengurangkan kos pembuatannya,” tambah Huzaireen lagi.

 

Reka bentuk FIL

Dari aspek pemasaran, YIM sebagai salah satu agensi kerajaan mempunyai akses dan rangkaian yang lebih luas. Pada peringkat awal, Huzaireen dan kumpulannya menyasarkan pusat-pusat pengajian yang mempunyai potensi pasaran yang tinggi. Dengan kerjasama bersama agensi dan badan lain yang berkaitan, FIL dapat diperkenalkan dengan lebih meluas. “YIM sudah berpengalaman untuk mencari pasaran yang sesuai. Dengan bantuan YIM, kami lebih yakin FIL akan mendapat sambutan yang menggalakkan,” ujar Huzaireen. Malah, YIM membantu menyediakan laman sosial dan laman sesawang bagi tujuan promosi dan jualan. “Pemasaran dalam talian akan memudahkan pembeli meneliti produk dan perinciannya dengan mudah pada bila-bila masa,” kata beliau. Selain itu, pemasaran luar talian juga dipertingkatkan dan YIM membiayai kos bahan bercetak bagi tujuan promosi dan iklan.Untuk sebarang tempahan dan pertanyaan berkenaan FIL, Huzaireen boleh dihubungi di laman facebooknya.

 

Menerusi pencarian inovasi inklusif, kerajaan berhasrat membantu golongan yang kurang berkemampuan menikmati produk, teknologi dan akses yang sebelum ini kebanyakannya ditawarkan kepada golongan berpendapatan tinggi. YIM sebagai badan peneraju meneruskan komitmen ini dengan mengangkat lebih banyak produk inovasi untuk manfaat rakyat Malaysia keseluruhannya.

 

Leave A Comment