SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS – INOVASI BERSAMA KOMUNITI ORANG ASLI DI PERAK

Orang Asli merupakan salah satu golongan yang berada jauh dari sumber pembangunan negara. Keberadaan mereka di kawasan luar bandar dan pedalaman menyukarkan arus pemodenan sampai di sana secara menyeluruh. Di sebalik kekangan ini, kerajaan masih menjaga hak dan kebajikan mereka menerusi menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Belia Orang Asli dan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan. Turut serta dalam usaha membantu golongan ini ialah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Pada Disember 2017, YIM telah menjalankan fasa pertama program Sustainable Development Goals (SDGs) di komuniti Orang Asli di Perak. Program ini menekankan aspek pembangunan inovasi, selari dengan teras utama gerak kerja YIM. Pelaksanaan program ini turut disertai oleh International Youth Centre (IYC) dan Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM). Kedua-dua agensi ini terlibat dalam usaha berkaitan pembangunan belia orang asli, pemerkasaan wanita muda dan menangani isu – isu belia di luar bandar. Kerjasama ini membolehkan YIM mengenalpasti masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat orang asli.

Peta lokasi kampung kajian

SDGs juga melibatkan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM). Bagi fasa pertama ini, YIM dan agensi terlibat turun padang melihat sendiri perkampungan orang asli. ARSM bertindak menyediakan pemetaan kawasan dan laluan fizikal bagi memudahkan wakil peserta yang terlibat menjejaki kampung. Sebanyak lima buah kampung yang berjaya dikunjungi iaitu satu di Tronoh manakala empat lagi di Tapah. Kampung Orang Asli Denak berada di Tronoh dan Kampung Orang Asli Ampang Woh, Kampung Orang Asli Tew Bah Mat, Kampung Orang Asli Bah Belit, dan Kampung Orang Asli Teming berada di Tapah.

Menerusi program SDGs ini, YIM memfokuskan kepada enam objektif utama iaitu;

  1. Merapatkan jurang perbezaan, ekonomi, komunikasi dan keciciran di kalangan masyarakat orang asli di Malaysia dan masyarakat lain.
  2. Untuk melihat potensi pelancongan dan penjanaan ekonomi bagi membantu memperkasakan masyarakat orang asli di Malaysia.
  3. Melihat potensi inovasi dapat dimanfaatkan oleh masayarakat Orang Asli.
  4. Pemerkasaan fungsi dan peranan IYC dalam menyokong usaha Pelan Strategik KBS 2016 – 2020 sebagai salah satu saluran belia negara;
  5. Pendedahan kepada jaringan, pengetahuan dan kemahiran global di samping merencana dan memperhebat program yang bercirikan pengantarabangsaan belia berasaskan senario dan tren global semasa.
  6. Menggalakkan lebih banyak penyertaan tiga golongan sasar ini dalam program berkualiti sebagai saluran untuk memainkan peranan dan menyumbang dengan lebih signifikan dan memperaga dan menonjolkan bakat belia negara melalui pelbagai program di peringkat antarabangsa dan tempatan dengan mengadaptasikan teknologi dan inovasi kini.

Lawatan ke kampung-kampung terpilih telah disertai wakil daripada setiap agensi. Mewakili YIM ialah Encik Tany Anthony Kiob, Ketua Pegawai Eksekutif ; Encik Raynold Cladius, Ketua Pegawai Kewangan; Puan Sharmila Mohamed Salleh, Timbalan Presiden Kanan YIM dan Nastassja Nicolette Mojitoh, Eksekutif Kanan. Turut serta ialah beberapa orang wakil daripada IYC, Universiti Mahsa, Hospitals Beyond Boundary dan Bluebear Holdings.

Encik Tany (dua dari kiri) turut serta dalam lawatan

Menerusi lawatan ini, terdapat beberapa cabaran dan peluang yang berjaya dikenal pasti. Secara umumnya, perkampungan orang asli di Tronoh lebih terdedah kepada pembangunan berdasarkan kewujudan kemudahan infrastruktur seperti taska KEMAS, dewan orang ramai, dewan FELCRA dan taman permainan. Manakala kawasan perkampungan orang asli di Tapah hanya dibekalkan dengan kemudahan tangki rawatan air. Tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada perkampungan orang asli di Tapah memandangkan perkampungan di sini tidak mempunyai bekalan elektrik. Ketiadaan kemudahan tadika dan sekolah telah menyumbang kepada peratus masyarakat orang asli di sini yang tidak bersekolah. Namun, terdapat segelintir daripada mereka dapat menghabiskan pengajian di peringkat sekolah rendah. Sekolah terhampir adalah Sekolah Kebangsaan Batu Tujuh yang terletak kira-kira 10 km dari perkampungan ini

Selain itu, terdapat satu muka sauk di bawah seliaan Lembaga Air Perak (LAP) di kawasan Kampung Ampang Woh. Tinjauan menunjukan kawasan tersebut terletak dalam kompartment 5 dan 81 Hutan Simpan Bukit Tapah yang merupakan kawasan tadahan air. Kawasan tadahan ini berada di dalam daerah hutan Perak Selatan dan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Perak.

Kompartment 5

Berdasarkan pemerhatian, kawasan ini memiliki sungai arus deras yang sesuai untuk aktiviti rakit redah jeram atau white water rafting. Walau bagaimanapun, penelitian dan perbincangan lanjut perlu diadakan bersama-sama pihak berwajib memandangkan kawasan ini merupakan kawasan tadahan air.

Selain berpotensi dengan aktiviti sukan air, kawasan ini juga merupakan laluan utama bagi denai pendakian ke Gunung Batu Putih. Kawasan ini dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan bagi mengetengahkan aktiviti mendaki sebagai salah satu sumber pendapatan kepada masyarakat orang asli setempat. Maklumat yang diperolehi ini akan dimasukkan ke dalam Sistem Pengurusan Taman Eko-Rimba dan Taman Negeri yang dibangunkan oleh Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) di bawah projek kerjasama antara ARSM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Garisan kuning menunjukkan laluan ke Gunung Batu Putih

Melihat kepada sumber pendapatan masyarakat orang asli di Tapah, kebanyakan mereka bergantung kepada hasil hutan. Petai dan rotan antara hasil yang mendapat permintaan daripada orang luar. Berdasarkan temu bual bersama orang asli di kawasan ini, terdapat kes kecurian kayu Karas (Gaharu) di sini. Masalah ini berlarutan kerana permintaan yang tinggi dan sumber yang banyak yang boleh didapati di sekitar kawasan ini. Pokok jenis ini sudahpun terletak dalam senarai pokok yang dilindung (Convention on International Trade in Endangered Species) dan penguatkuasaan yang lebih ketat diperlukan oleh pihak berwajib.

Peserta lawatan melalui laluan bersungai untuk sampai ke perkampungan orang Asli

Berdasarkan lawatan dan perbincangan dengan penduduk kampung orang asli, terdapat beberapa kesimpulan awal yang boleh dibuat. Pertama, terdapat banyak ruang dan peluang bagi memajukan ekonomi orang asli di sini. Kawasan ini mempunyai potensi untuk dijadikan kawasan pelancongan bagi tujuan penjanaan ekonomi dan membantu memperkasakan golongan orang asli di Malaysia. Yayasan Inovasi Malaysia akan berusaha untuk memberi kesedaran inovasi dan kreativiti bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menaikkan taraf ekonomi melalui produk inovasi yang bersesuaian.

Gambar kenangan bersama penduduk orang asli

Kedua, peranan pihak berkaitan untuk menaiktaraf kehidupan orang asli. Peranan JAKOA dan JKM perlu dipertingkatkan lagi untuk menilai dengan lebih terperinci keperluan masyarakat orang asli. Pembangunan kemudahan asas seperti kemudahan jalan raya, eletrik dan sistem perpaipan yang baik amat di perlukan demi memperbaiki kualiti hidup masyarakat orang asli. Dalam masa yang sama, pihak IYC dan badan-badan yang berkaitan boleh membantu dari segi pendidikan awal, pendidikan agama dan kesedaran penjagaan kesihatan dan kebersihan. Langkah ini sebagai nilai tambah kepada usaha yang sedang dan akan dijalankan oleh pihak kerajaan.

Sesi perbincangan santai bersama penduduk setempat

Tambahan lagi, IYC boleh mengambil peranan sebagai pemudahcara untuk mendekati masyarakat orang asli dengan cara yang praktikal dan holistik. Tiga elemen yang akan diterapkan iaitu sains, inovasi, dan teknologi bagi memastikan isu-isu dihadapi oleh mereka mendapat penyelesaian mampan. YIM akan bekerjasama dengan IYC untuk melaksanakan program-program dalam konteks pembangunan belia negara, khususnya dalam kalangan orang asli. Perbincangan berterusan akan dibuat dari semasa ke semasa bersama penduduk orang asli dan pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan program SDGs ini berjalan dengan baik.

2018-05-02T17:34:25+00:00April 30th, 2018|Innovation Trending, Malaysia Innovation, Uncategorized, YIM|0 Comments

Leave A Comment