YIM Melantik Duta Inovasi Akar Umbi dari Sabah (2017-2018)

Semenjak memenangi pertandingan ‘Mainstreaming Grassroots Innovations’ (MaGRIs), sebuah program dibawah Rancangan Malaysia Ke-11, anjuran YIM, Asmawati, seorang inovator akar umbi tempatan, sering dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam penghasilan inovasi.

Puan Florence Ki, Ketua Pegawai Operasi YIM memberi pengiktirafan kepada pemenang program MaGRIs 2016.

Inovasi beliau yang dikenali sebagai D’Banana Craft merupakan sebuah Paper-Making Toolkit yang merangkumi cara pembuatan kertas daripada pelbagai serat tumbuhan dengan menggunakan mesin-mesin yang murah, sesuai untuk dijadikan perniagaan kecil komuniti tempatan.

Sebenarnya, idea asal Asmawati hanya untuk menghasilkan kertas daripada sisa batang pokok pisang bertujuan dijadikan bungkusan kreatif untuk produk kerepek pisang beliau. Seperti yang diinginkan, dengan kerjasama dan bimbingan YIM, pelbagai variasi kertas dan pembungkusan kreatif telah dihasilkan. Walau bagaimanapun, kertas-kertas yang dihasilkan hanya sesuai untuk kegunaan sendiri. Memandangkan kertas-kertas setaraf yang ada di bandar adalah lebih murah berbanding dengan apa yang dihasilkan oleh Asmawati, nilai komersial adalah sangat terhad.

YIM dan Asmawati sama-sama tidak berputus asa dan dengan bimbingan Encik Robest Yong, seorang inovator terkenal tempatan, tercetuslah idea menghasilkan D’Banana Craft Paper-Making Toolkit bertujuan menyelesaikan masalah batang pisang terbiar yang dihadapi oleh komuniti tempatan. Toolkit ini mengandungi sebuah modul pembuatan kertas daripada batang pisang terbiar dan juga cadangan mesin-mesin bersaiz kecil yang sesuai digunakan dalam pembuatan kertas pada peringkat komuniti.

Pembangunan inovasi di kawasan luar bandar perlu dipertingkatkan dan usaha ini sedang dilakukan oleh YIM menerusi pelbagai pendekatan termasuklah penganjuran program MaGRIs. Ia merupakan sebuah program bertujuan untuk mempertingkatkan usaha pembangunan dan pengkomersialan inovasi akar umbi yang berpotensi di Malaysia melalui kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan, industri dan komuniti. Selain memberi geran pembangunan inovasi, program ini turut menyediakan peluang pembinaan kapasiti kepada inovator akar umbi tempatan.

Dengan perlantikan Puan Asmawati sebagai duta inovasi akar umbi, beliau turut memegang tanggungjawab untuk menggalakkan lebih ramai orang berinovasi, terutamanya komuniti luar bandar.

Bergambar bersama YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau (Menteri MOSTI), Prof. Madya. Dr. Ramzah Dambul (Timbalan Ketua Setiausaha STI, MOSTI), dan juga YBRs En. Tany Anthony Kiob, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, semasa Perlantikan sebagai Duta Inovasi Akar Umbi Yayasan Inovasi Malaysia.

Kata beliau “Bukan sekadar orang bandar sahaja berfikiran inovatif, malah orang kampung juga mampu mencipta sesuatu yang mempunyai nilai pasaran”.

Antara cabaran terbesar yang terpaksa ditempuhinya ketika berkongsi pengalaman beliau adalah untuk mengubah minda peserta dan menyakinkan masyarakat kampung akan kebolehan dan kemampuan diri mereka sendiri.

Menerima Geran Pengkomersialan Inovasi bernilai RM100,000 bagi pembinaan Toolkit Perniagaan Pembuatan Kertas bersama Komuniti, oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Menteri MOSTI) dan YBRs En. Tany Anthony Kiob, Ketua Pegawai Eksekutif YIM,

“Keyakinan boleh dibina dengan memperbanyakkan ilmu pengetahuan. Cari maklumat tentang produk yang mahu dicipta,” kata beliau.“Bila kita bersungguh-sungguh, kita akan dapat cari jalan. Saya sanggup keluar ke bandar untuk mendapatkan akses internet.  Perjalanan agak jauh namun ianya berbaloi,” tambah beliau. Beliau menegaskan bahawa setiap kawasan mempunyai masalah yang berbeza. Penyelesaian terhadap masalah itu juga perlu dilihat dari sudut yang berbeza. Di sinilah inovasi memainkan peranan.

“Jangan risau dengan kemampuan inovasi yang mahu kita lakukan. Paling penting ialah usaha dan ruang penambahbaikan sentiasa ada selepas itu,” kata beliau. Asmawati berpendapat bahawa keberanian untuk mencabar diri sendiri amat penting untuk mencapai kejayaan. Kadang-kadang, tidak perlu juga terikut dengan kata orang lain yang merendah-rendahkan usaha diri.

Siri perkongsian yang dianjurkan oleh YIM telah memberi perspektif baru kepada masyarakat luar bandar dan membolehkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai potensi inovasi akar umbi yang boleh diterokai.

 Asmawati menyeru semua warga negara, tidak kira dari bandar ataupun desa untuk bersama-sama mengenalpasti masalah harian dan mencari penyelesain secara inovatif supaya budaya inovasi dapat diterapkan dalam diri kita. Dengan ini, barulah negara kita akan dapat berdaya saing dengan negara-negara maju.

Untuk mendapatkan bantuan YIM bagi membangunkan produk inovasi ada, sila emel kepada kami di info@yim.my

 

2018-02-06T12:49:28+00:00February 2nd, 2018|News & Articles, Uncategorized|0 Comments

About the Author:

Leave A Comment