Tuah ayam Nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah gambaran yang boleh diberikan kepada kisah perjalanan dua inovator muda yang bersemangat tinggi dari Universiti Teknologi Melaka (UTeM).

Noor Shakinah Rudzlan Apandi dan Siti Hajar Adni Mustaffa masih lagi digelar sebagai mahasiswa di UteM ketika membawa masuk produk yang dinamakan sebagai Nakula ke pertandingan ‘Mainstreaming Grassroots Innovations’ (MaGRIs) pada tahun 2016. Program ini merupakan inisiatif kerajaan dibawah Rancangan Malaysia Ke-sebelas yag dianjurkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. YIM ditubuhkan untuk mengerakkan pengkomersialan inovasi akar umbi di negara kita. Di samping menerokai inovasi-inovasi dari seluruh pelusuk negara, melalui program MaGRIs, YIM turut membimbing inovator akar umbi dalam aspek memperkukuhkan nilai keusahawanan mereka.

Puan Florence Ki, Ketua Pegawai Operasi YIM memberi pengiktirafan kepada pemenang program MaGRIs.

Dengan bantuan penyelia kepada mahasiswa-mahasiswa ini pada ketika itu, Nakula berjaya terpilih sebagai salah satu inovasi akar umbi yang layak menerima bantuan geran pembangunan inovasi sebanyak RM30,000 daripada YIM.

Nakula merupakan sebuah alat pengutip relai biji sawit yang ergonomik dan sangat sesuai digunakan di ladang sawit yang kecil. Kebanyakan pengusaha ladang sawit bersaiz kecil sering mengutip lerai biji sawit secara tradisional iaitu menggunakan tenaga buruh tanpa peralatan. Kadang-kadang bagi pengusaha kecil yang tidak mampu mengupah pekerja yang mencukupi, kerana sangat letih membengkokkan badan untuk mengutip lerai biji sawit, maka mereka akan biarkan leraian begitu sahaja walaupun ia sebanyak sedikit dapat meningkatkan jualan.

Mengimbau kembali ketika menyertai MaGRIs, Noor Shakinah pada mulanya hanya menyangkakan ia hanyalah sebuah pertandingan yang mengiktiraf inovasi terbaik.

“Kami tidak pernah terfikir untuk menjadi usahawan. Bahkan ia sekadar projek akhir tahun ketika itu,” kata beliau. Selepas memenangi pertandingan ini barulah kami faham yang produk kami berpotensi untuk dikomersialkan.

YIM bukan sekadar ingin memberi pengiktirafan kepada pemenang-pemenang inovasi akar umbi tempatan tapi berhasrat supaya setiap inovasi yang berpotensi dapat dikomersialkan dengan melahirkan lebih ramai usahawanan muda yang berinovatif.

“Ia pengalaman baru yang sangat berharga,” ujar Noor Shakinah ketika ditanya berkenaan prospek keusahawan yang dibina oleh YIM. Sebagai seorang mahasiswa aliran kejuruteraan dan teknikal, sudah pasti perihal berkaitan dengan pengurusan perniagaan menjadi sesuatu yang mencabar. Beliau dan rakannya kini sudah pun tamat pengajian di UTeM. Namun, usaha untuk meneruskan perusahaan ini masih lagi diteruskan. Bagi Noor Shakinah, jalan yang ditunjukkan oleh YIM memudahkan mereka untuk terus bergerak ke hadapan selangkah demi selangkah.

“Pada peringkat awal lagi, kami didedahkan dengan kursus keusahawan,” jelas beliau. Menerusi kursus ini, kami diajar cara memulakan sesuatu perniagaan terutama dari segi permodalan, pengurusan kewangan, strategi pemasaran dan juga pengurusan pekerja,” tambah beliau lagi.

“Bagi saya, pelan perniagaan sangat penting. Ini sangat jelas apabila kita mahu serius untuk maju,” kata inovator muda ini.

Mr. William dan Dr. Tom Tan memberi bimbingan pelan perniagaan kepada Noor Shakinah dan Siti Hajar

“Melalui YIM, kami juga diberi akses kepada Encik William, seorang pakar dari industri pengusaha ladang sawit. Melalui bimbingan beliau, lebih banyak informasi dan pengetahuan yang kami dapat tentang industri sawit. Encik Willian bukan sekadar berkongsi ilmu industri sawit malah turut mengaitkan kami dengan pengusaha industri tersebut agar produk kami dapat diuji dalam ladang sawit sebenar”.

YIM membantu dan memberi khidmat nasihat untuk membentuk pelan perniagaan lima tahun dan juga aspek pembentukkan nilai sesuatu inovasi. “Ujian lapangan merupakan pengalaman dunia sebenar yang mengujakan,” luah Noor Shakinah. “Kami teruja mendengar sendiri cabaran yang dihadapi oleh peladang ketika menggunakan Nakula,” jelas beliau lagi. Maklum balas dua hala yang berlangsung ternyata sangat baik untuk perkembangan produk. Menerusi maklum balas ini, beberapa ciri tambahan dimasukkan manakala ciri sedia ada dipertingkatkan.

“Kami mahukan inovator mahasiswa menjadi usahawan yang berdaya saing dan mampu memberi inspirasi kepada rakyat kita,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Encik Tany Anthony Kiob.

Perkongsian pengalaman juga diberi oleh pegawai YIM yang mempunyai pengalaman menguruskan projek pembangunan inovasi. Ini bertujuan supaya inovator yang baru menceburi bidang keusahawanan dapat mengelakkan kesilapan yang mungkin dilakukan.

Dari kiri: Robest Yong, Florence Ki, Noor Shakinah, Awang dan Siti Hajar.

Noor Shakinah memberitahu, “Pegawai YIM banyak memberi nasihat tanpa mengira masa. Banyak kali, kami masih dapat menerima maklum-balas mereka melalui WhatsApp walaupun sudah melepasi waktu kerja. Pengurus Kanan program MaGRIs, Puan Florence Ki turut memberi bimbingan yang amat tegas mengenai strategi pemasaran supaya kami masih berada dalam landasan pengkomersialan yang betul”

YIM turut berkongsi sumber dan rangkaian yang luas bagi meminimumkan kos pengeluaran sesuatu produk. “Sebagai usahawan, sudah tentu kita mahu kurangkan kos dari segenap aspek. YIM banyak mengajar cara yang betul untuk dapatkan sumber yang sesuai dan padat,” jelas beliau lagi,” kata Siti Hajar.

“Kami turut ingin berterima kasih kepada YB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kerana memberi prihatin kepada inovasi-inovasi mahasiswa di negara kita. Tanpa visi untuk mengembangkan inovasi akar umbi tempatan, mungkin kami tidak berpeluang menjadi inovator belia,” kata Noor Shakinah.

YIM mempunyai kepakaran dan rangkaian yang luas dalam membimbing inovator akar umbi supaya menyusun langkah pembangunan inovasi dan pengkomersialan dengan cara sistematik. Menerusi kepakaran dan rangkaian ini, segala maklumat dan sumber yang diperlukan boleh didapati dengan mudah.

Nakula masih lagi berada di tahap prototaip dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tahun 2018.

Antara harapan YIM ialah supaya inovator yang menerima bimbingan dan bantuan daripada YIM dapat meneruskan perjalanan mereka ke arah menjadi usahawan yang berjaya, bukan setakat di negara ini malah di seluruh dunia. YIM percaya setiap inovator mampu menghasilkan lebih banyak produk yang berpotensi besar, bukan berhenti pada satu produk semata-mata. Dengan ilmu keusahawan yang dikongsikan, inovator mampu berdikari untuk terus melangkah ke hadapan.

Bagi membantu inovator akar umbi tempatan menjadi usahawan yang berdaya-saing, YIM menyediakan bukan sahaja bantuan dari segi pemberian geran malah juga bimbingan. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi YIM melalui info@yim.my.