YIM TERUSKAN MOMENTUM, GERAKKAN PEMBANGUNAN INOVASI DI MALAYSIA

Tahun 2018 menjadi tahun yang cukup besar buat rakyat Malaysia. Pada 9 Mei yang lalu, rakyat telah membuat keputusan seterusnya berjaya membentuk kerajaan baru. Perubahan kerajaan menatijahkan perubahan struktur pentadbiran di peringkat persekutuan. Antara yang berubah ialah berlakunya penstrukturan kementerian atas dasar melancarkan urusan, meningkatkan keupayaan dan mengurangkan kos. Setelah distruktur semula, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini bergabung dengan Sektor Tenaga dan Teknologi Hijau, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bagi membentuk MESTECC. MESTECC merupakan ringkasan kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar yang kini diketuai oleh menterinya, YB Puan Yeo Bee Yin.

 

Selaku sebuah agensi di bawah MESTECC, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) masih meneruskan gerak kerjanya dalam membangunkan inovasi akar umbi di Malaysia. Meneruskan momentum kejayaan tahun-tahun sebelumnya, tiga buah program utama masih diteruskan lagi pada tahun 2018 iaitu Mainstreaming Grassroots Innovations (MaGRIs), MESTECC Social Innovation (MSI) dan High Impact Programme 6 (HIP6).

 

MaGRIS merupakan program yang memfokuskan inovasi akar umbi yang berpotensi besar untuk diketengahkan. Seringkali, inovasi yang dihasilkan di peringkat akar umbi disisihkan, atau kurang diberi perhatian berikutan tiada sokongan yang sepatutnya. Pada tahun 2018, 18 aktiviti berkaitan MaGRIs telah disusun sehingga penghujung Disember. Antara inovasi-inovasi akar umbi yang sedang dibangunkan ialah Drabot Uno Kit (pengaturcaraan berasaskan STEM untuk pendidikan di sekolah), Kaya Slice (kaya berbentuk kepingan) dan Kit Pengurusan Uri yang memudahkan proses mengurus dan membuang uri. Dianggarkan kira-kira 500 orang menerima manfaat menerusi aktiviti berkaitan MaGRIs pada tahun ini.

 

MSI pula merupakan program kolaborasi antara agensi-agensi di bawah MESTECC. Menerusi program ini, teknologi berasaskan inovasi akan dibangunkan di lokasi-lokasi terpilih yang bakal memanfaatkan golongan sasaran. Antaranya ialah Projek Sensori Mutiara yang membantu kanak-kanak Autisme; Teknologi Pengeringan Cendawan untuk Industri Kecil dan Sederhana; Taman Eko Sains SK Kundasang Berkonsepkan STEM dan lain-lain. Projek-projek MSI bukan sahaja bersifat membantu membangunkan ekonomi setempat, malah turut menekankan aspek pendidikan dan pembangunan sosial, tanpa mengabaikan golongan terpinggir seperti orang kurang upaya.

 

Selain itu, HIP6 turut menjadi nadi penting dalam hala tuju YIM. Pada tahun 2018, HIP6 digerakkan dengan meneruskan pembangunan inovasi terpilih dan mencari inovasi inklusif yang baru menerusi Cabaran Inovasi Inklusif. Antara inovasi yang menjadi tumpuan pada tahun ini ialah Helium HER (sistem pengurusan atas talian di hospital), Gerudi Pertanian, ThrowFEX (alat pemadam api secara balingan) dan KOTTS (Kit Operasi Tambah Tolak Sukatan). Terdapat 22 projek HIP6 yang dijalan pada tahun ini dan memberi impak kepada 2,200 orang penerima manfaat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar dan petani, khususnya golongan B40. Cabaran Inovasi Inklusif 2018 atau Inclusive Innovation Challenge 2018 (IIC2018) pula telah diadakan mengikut enam zon iaitu zon tengah, zon selatan, zon timur, zon utara, zon Sabah dan zon Sarawak. Cabaran ini telah berjaya mencungkil banyak inovasi yang bakal dibangunkan pada tahun hadapan.

 

 

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga program ini memberi manfaat kepada kira-kira 4,400 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, antaranya pelajar sekolah, pekebun kecil, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), orang kurang upaya dan ibu tunggal. Secara umumnya, golongan B40 atau 40% terbawah dalam piramid pendapatan mendapat manfaat yang signifikan daripada pelaksanaan program-program ini. Penerima manfaat ini dijangka bertambah apabila produk dan perkhidmatan inovasi telah berjaya dibangunkan sepenuhnya dan mula dikomersialkan. YIM akan terus membantu dari aspek pembangunan kapasiti dan kepakaran bagi memastikan inovator mempunyai nilai daya saing yang tinggi untuk menempatkan inovasi mereka di tahap terbaik.

2018-11-30T10:39:50+00:00November 30th, 2018|Malaysia Innovation, News & Articles, YIM|0 Comments

Leave A Comment